Bantuan guaman percuma bagi warga Selangor, kerajaan negeri peruntuk RM1 juta

Amirudin Shari (dua dari kiri) menyampaikan replika cek RM1 juta Dana Bantuan Guaman Selangor kepada Karen Cheah Yee Lynn (tiga dari kanan) dan Kokila Vaani Vadiveloo (dua dari kanan) sambil disaksikan V Ganabatirau (kiri).

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan program Dana Bantuan Guaman Selangor bagi membantu rakyat negeri itu mendapatkan bantuan guaman percuma melibatkan kes sivil.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata program antara kerajaan negeri dengan Majlis Peguam Malaysia dan Majlis Peguam Selangor dilaksanakan selama tiga tahun sebagai yuran guaman bagi golongan tidak berkemampuan yang layak, untuk mendapatkan hak guaman.

“Kita bekerjasama dengan Majlis Peguam Selangor untuk memberi bantuan dan sokongan kepada rakyat negeri ini yang memerlukan perkhidmatan bantuan guaman secara percuma.

“Ini untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk membayar yuran guaman bagi mendapat layanan adil mengikut undang-undang supaya hak mereka dipenuhi.

“Kita dapati ramai golongan miskin bandar di Selangor yang sebahagiannya mungkin terdedah kepada kegiatan di luar undang-undang dan mereka boleh meminta bantuan daripada Majlis Peguam Selangor,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Boulevard, laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu, Amiruddin menyempurnakan penyerahan cek Dana Bantuan Guaman Selangor kepada Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn dan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Selangor, Kokila Vaani Vadiveloo sambil disaksikan Exco Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau.

Sementara itu, Ganabatirau yang bertanggungjawab menyelaraskan dana berkenaan berkata program tersebut akan menumpukan kes sivil melibatkan isu keluarga dan pekerja.

“Bagi setiap kes individu, mereka akan diberi subsidi RM1,500 dan untuk tindakan kelas, akan diberi subsidi sehingga maksimum RM2,000. Peguam akan dipilih oleh Majlis Peguam Selangor.

“Setakat ini RM300,000 daripada dana RM1 juta telah disalurkan kepada Majlis Peguam Selangor. Sekarang isu undang-undang keluarga dan pekerja menjadi keutamaan,” kata ADUN Kota Kemuning itu.

Turut baca

 

Amirudin Shari (dua dari kiri) menyampaikan replika cek RM1 juta Dana Bantuan Guaman Selangor kepada Karen Cheah Yee Lynn (tiga dari kanan) dan Kokila Vaani Vadiveloo (dua dari kanan) sambil disaksikan V Ganabatirau (kiri).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*