Sindiket seludup Ah Chong tumpas, 2 pegawai imigresen ditahan

Dua pegawai Jabatan Imigresen (JIM) ditahan petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang disenarai hitam untuk masuk ke negara ini semula.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, dua individu itu berusia 20 hingga 27 tahun dan bertugas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud (bertopi) melihat barang rampasan berkaitan pendatang tanpa izin dan sindiket penyeludupan Ah Chong.

Terdahulu, katanya, JIM menumpaskan sindiket menyeludup pendatang tanpa izin yang dikenali sebagai sindiket Ah Chong menerusi operasi di Larkin Sentral dan KSAB kira-kira 1.30 tengah hari.

“Turut ditahan 25 pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 13 lelaki dan 12 wanita berserta dua tekong warga tempatan berusia 34 dan 49 tahun yang dipercayai bertindak sebagai pengangkut (transporter),” katanya pada sidang media di Laluan Keluar Bas dan Lori KSAB.

Katanya, sindiket itu disyaki aktif sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka April lepas dengan menyasarkan pendatang tanpa izin yang disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

Beliau berkata, sindiket itu mengenakan bayaran RM5,000 hingga RM8,000 seorang dan dianggarkan mereka membawa masuk sekurang-kurangnya 600 pendatang tanpa izin dengan mengaut keuntungan lebih RM2.5 juta.

“Dalam operasi ini, kita berjaya menahan dua tekong dan 25 warga Indonesia yang memasuki negara ini melalui Singapura. Modus operandi sindiket ini adalah membawa masuk pendatang tanpa izin melalui LinKedua, sebelum dua pegawai imigresen di KSAB yang terlibat melepaskan mereka tanpa sebarang pemeriksaan sebelum dibawa ke Larkin Sentral menggunakan bas.

“Di Larkin Sentral, sebuah bilik khas disediakan sindiket untuk memberikan cop palsu kepada pasport milik kesemua pendatang tanpa izin itu bagi mengaburi mata pihak penguasa dan selepas itu mereka akan dibawa menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan di Kuala Lumpur.”

Katanya, 25 warga Indonesia yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, manakala dua pegawai imigresen dan dua tekong warga tempatan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Pihak imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran.”

Turut baca :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*