Siapa Karina? Dia masuk ke bilik mandi lelaki tetapi tidak pernah keluar

KISAH ini sudah lama berlaku iaitu semasa saya sedang menuntut di sebuah universiti di selatan tanah air.

Sekitar pertengahan tahun 2010, saya menghadiri kursus bina semangat di sebuah hutan rekreasi. Semua yang mengikuti kursus tersebut adalah sebahagian pelajar dari sebuah kolej kediaman universiti kami.

Ketika itu, gempar dengan peristiwa seorang pelajar perempuan masuk ke dalam bilik mandi yang berlaku ketika hendak masuk waktu Maghrib.

Bilik mandi berkonsep terbuka itu tidak jauh dari kawasan perkhemahan kami yang jaraknya kira-kira 200 meter. Kedudukannya adalah di kawasan paya yang bersempadan dengan hutan. Apa yang janggal, blok bilik mandi terbuka untuk lelaki itu tidak berbumbung.

Walaupun terdapat 12 buah bilik mandi, namun saya terpaksa menunggu giliran. Bayangkan, 12 buah bilik untuk 80 orang peserta. Memang tak cukup dan kami perlu menunggu giliran. Malah, ada yang mandi berdua sebab nak jimatkan masa.

Hari itu saya turun ke kawasan paya tersebut agak lewat. Ketika menunggu giliran hendak mandi, saya bersembang bersama beberapa pelajar lain yang juga sedang menunggu giliran. Sambil menunggu itu, kami berbual dan saling berkenalan kerana ramai peserta kursus tersebut masih belum mengenali antara satu sama lain.

Maklumlah, ini merupakan minggu kedua kami menjadi pelajar universiti. Kiranya masih dalam minggu orientasi lagi.

Sedang kami berborak, beberapa pelajar lelaki ternampak kelibat seorang pelajar perempuan memasuki bilik mandi lelaki. Saya juga nampak kelibat pelajar perempuan itu masuk.

“Aaik… berani budak perempuan tu masuk ke bilik mandi lelaki,” kata salah seorang daripada kami yang sedang berkumpul menanti giliran.

“Hah, apa lagi, jom kita skodeng!” balas salah seorang rakan, disambut tawa kami beramai-ramai.

Tapi, tidaklah kami betul-betul skodeng pun, sekadar bergurau saja. Namun kami tertanya-tanya siapa pelajar wanita yang masuk tadi? Di kalangan kami yang bersembang di situ, tiada seorang pun yang kenal dengan pelajar perempuan tersebut.

Kebetulan ada sekumpulan pelajar lain tidak jauh daripada kami. Lalu salah seorang dari kumpulan kami bertanya “Eh, kau orang nampak tak ada budak perempuan masuk ke dalam tu tadi?”

“Tu Karina!” Rupa-rupanya ada pelajar lain yang bukan dari kumpulan sembang kami yang nampak seorang pelajar perempuan itu masuk ke bilik mandi lelaki.

Lalu kami sepakat tidak akan masuk ke dalam bilik mandi itu walaupun sudah tiba giliran kami selagi pelajar perempuan itu belum keluar.

Kami terus menunggu. Seorang demi seorang pelajar lelaki keluar masuk bilik mandi hinggalah semua bilik lengang. Yang tinggal hanya kami, sembilan orang.

Kami rasa pelik, dah habis semua budak mandi, namun pelajar perempuan itu masih belum keluar. Nak kata keluar ikut pintu lain, tak mungkin sebab pintu keluar masuk bilik mandi itu hanya satu.

Dengan rasa hairan, kami masuk ke bilik mandi itu. Setiap bilik dan sudut kami periksa, tapi tak nampak pun kelibat pelajar perempuan bernama Karina itu.

“Jangan-jangan tu bukan Karina tak?” seorang daripada kami mula membuat andaian.

Malas fikir panjang, kami terus mandi dan bergegas untuk solat Maghrib sebelum makan malam beramai-ramai. Malam itu, semua pelajar bersama 14 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajar senior kami, berkumpul di kawasan lapang mengelilingi unggun api.

Sementara menunggu taklimat, masing-masing mula bercerita tentang peristiwa petang tadi. Rupa-rupanya bukan kumpulan kami saja yang nampak Karina masuk ke dalam bilik mandi lelaki, ramai lagi yang nampak.

Saya dan kawan lain tercari-cari di mana Karina pada malam itu. Mungkin ada, cuma kami yang tak nampak kerana ramai juga pelajar perempuan pada perhimpunan itu.

Dalam perhimpunan malam itu, kami diberi tugasan untuk melakukan aktiviti night walk dan owl operation. Dalam masa yang sama, saya tertunggu-tunggu juga jika fasilitator akan bercakap pasal pelajar perempuan yang masuk ke dalam bilik mandi lelaki.

Namun sehingga taklimat selesai dan hendak memulakan aktiviti malam, tiada seorang pun fasilitator yang bercakap pasal Karina.

Saya yang masih rasa ingin tahu menghampiri ketua fasililator ketika hendak bergerak membentuk barisan. Lalu saya ceritakan tentang peristiwa petang tadi.

“Mungkin hanya ilusi awak agaknya,” jawab ketua fasilitator.

Hish… kalau hanya ilusi saya, takkan ramai pelajar lelaki lain pun melihat kejadian yang sama. Dia hanya diam, lalu mengarahkan saya bergerak cepat ke dalam barisan.

Dua hari dua malam kami dihantui pertanyaan, betulkah Karina masuk ke dalam bilik mandi lelaki. Namun ia terus menjadi teka-teki. Berulang-ulang kami bertanyakan kepada fasilitator, mereka tetap tidak mahu komen.

Saya beranggapan mungkin mereka tak mahu komen sebab memang ada pelajar perempuan masuk ke dalam bilik mandi lelaki. Tapi mengapa tidak diambil tindakan terhadap pelajar perempuan itu? Jangan-jangan ada yang mereka sorokkan daripada kami.

Masuk hari ketiga, dalam perhimpunan terakhir ketika hendak pulang, kami diberitahu oleh ketua fasilitator bahawa sebenarnya tempat perkhemahan kami itu agak ‘keras’.

Menurutnya yang telah 16 kali menyertai dan mengendalikan kursus bina semangat di situ, sudah tiga kali peristiwa pelajar perempuan masuk ke bilik mandi lelaki berlaku.

Mendengarkan kata-kata ketua fasilitator itu, semua pelajar berasa hairan. Adakah Karina yang kami lihat masuk ke dalam bilik mandi lelaki itu sebenarnya bukan Karina?

Kata fasilitator itu lagi, memang benar ada pelajar perempuan bernama Karina yang menyertai kursus bina semangat kali ini. Namun, tak sampai 10 minit dia tiba pada hari pertama, dia sudah pulang semula ke Johor. Dia dijemput oleh ayahnya kerana pak ciknya meninggal dunia. Jadi, Karina tak sempat mengikuti apa-apa aktiviti yang kami lakukan.

Sedang ketua fasilitator meneruskan ceritanya, seorang fasilitator masuk bersama seorang pelajar perempuan.

“Minta maaf, kakak ganggu sekejap. Ini Karina, baru sekejap tadi dia dihantar oleh bapanya.”

Sah, dialah pelajar perempuan yang kami nampak masuk ke dalam bilik mandi lelaki kelmarin. Karina hanya tersenyum. Mungkin segala-galanya telah diberitahu kepadanya sebelum itu.

Jadi, jika Karina sudah pulang dari awal lagi, siapa ‘Karina’ yang kami lihat masuk ke tandas lelaki itu? Apakah itu qarin Karina?

Timbul lagi satu persoalan. Menurut cerita fasililator kami, sebelum ini pun pernah berlaku kejadian perempuan bernama Karina masuk ke bilik mandi lelaki.

Saya yakin cuma kebetulan semasa batch kami, ada pelajar perempuan bernama Karina. Habis tu, siapa pula ‘Karina’ dalam kejadian sebelum perkhemahan kami ini? Tak mungkin Karina yang sama dengan kem kami? Takkan kebetulan juga?

Itu yang jadi tanda tanya. Sayangnya, saya terlupa bertanyakan persoalan itu kepada fasililator tersebut.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*