‘Serahlah diri secara aman’, nasihat polis kepada Hafizul Harawi

Lelaki yang cuba menembak isterinya dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dianggap individu bersenjata yang berbahaya.

Polis mendedahkan suspek yang kini sedang diburu itu sebagai Hafizul Hawari berusia 38 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kejadian berlaku sekitar jam 1.20 pagi di pintu masuk balai ketibaan KLIA ketika wanita itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Untuk rekod, suspek dan isterinya ada mengusahakan syarikat agensi pelancongan dan umrah yang beroperasi di sini.

Menurut Mohd Shuhaily, siasatan mendapati suspek pada awal melempar satu mercun sehingga mencederakan dua orang awam sebelum menghampiri isteriya yang berada di pintu masuk balai ketibaan di situ.

“Suspek bertindak nekad menghampiri mangsa iaitu isterinya dan melepaskan tembakan dalam jarak dekat ke arah mangsa (isteri), antara tiga hingga empat meter.

“Satu das tembakan tersasar dan satu das mengenai pengawal peribadi. Wanita itu yang menjadi sasaran sebenar terselamat daripada tembakan itu.

'Serahlah diri secara aman', nasihat polis kepada Hafizul Harawi

“Suspek kemudian melarikan diri ke aras dua Blok C, yang mana suspek datang dan meletakkan kereta di situ.

“Hasil siasatan awal, sememangnya jelas kita dapat kenal pasti suspek dan dia mempunyai senjata. Buat masa ini kita telah melancarkan operasi mengesan suspek,” katanya dalam sidang media di Balai Ketibaan KLIA, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Baharudin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman.

Mohd Shuhaily, berkata pasukan polis daripada semua kontinjen polis berhampiran dan bersempadan dengan Selangor sudah digerakkan dalam usaha memburu suspek.

“Buat masa ini, kita dapat kenal pasti motif lebih kepada perihal peribadi antara suspek dan mangsa. Selepas kita dapat tangkap suspek kelak, kita akan dapat motif sebenar kejadian tembakan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhailu menyarankan suspek untuk menyerah diri secara aman di mana-mana balai polis berhampiran dan tidak lagi mengeruhkan lagi keadaan.

“Serahlah diri secara aman. Apa yang berlaku (tembakan) telah pun berlaku dan apa yang akan berlaku selepas ini tidak akan dapat membetulkan insiden itu.

“Dalam konteks ini, polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya. Kita minta orang awam yang ada terlihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan polis namun jangan bertindak sendiri,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata siasatan mendapati suspek tidak mempunyai permit senjata api dan percaya memperoleh senjata itu secara haram dan pihak polis buat masa ini belum dapat mengenal pasti jenis pistol yang digunakan.

Katanya siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*