Usaha mengatasi masalah bekalan air di Kelantan mungkin tidak berjaya selagi isu kecekapan pengurusan syarikat pengendalinya belum diatasi, kata Pemuda Umno negeri itu.
Ketuanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata sebelum ini bermacam-macam langkah sudah diambil untuk menangani masalah tersebut namun belum menunjukkan hasilnya.
Selain itu dia turut mendakwa wujud amalan nepotisme dalam pentadbiran berkaitan bekalan air di Kelantan.
Tanpa perubahan dari aspek itu, katanya, tidak mungkin rakyat Kelantan boleh mengharapkan masalah tersebut boleh berhasil.
“Amalan nepotisme dan kecekapan AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) patut menjadi perhatian utama semua pihak kerana bermacam-macam perkara telah dilakukan oleh kerajaan persekutuan untuk memulihkan bekalan, namun kerajaan negeri masih mengekalkan pengurusan yang gagal dalam mengharapkan keputusan berbeza,” katanya.
Azmawi Fikri berkata demikian sebagai mengulas laporan media semalam mengenai permintaan Kelantan mendapatkan dana berjumlah RM8 bilion bagi menyelesaikan isu yang berlarutan itu.
Memetik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, portal berita FMT melaporkan, kerajaan menolak permohonan tersebut kerana perlu menelitinya secara tepat terlebih dulu.
Sebaliknya Anwar meminta butiran mengenainya diteliti dan ada syarat ditetapkan sebelum dipenuhi.
Pada masa sama Anwar menjelaskan, Putrajaya berpendapat jumlah yang diminta Kelantan itu masih boleh dikurangkan berdasarkan kepada perincian lanjut.
Azmawi Fikri berkata selepas pelbagai bantuan diberikan kepada Kelantan, rakyat masih melihat dan merasai sendiri kegagalan AKSB membekalkan bekalan air ini menjadi lebih teruk.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Alam Sekitar dan Air sebelum ini juga, katanya, menunjukkan kadar air tidak berhasil di Kelantan semakin meningkat.
“Sebab itu apa yang berlaku dalam AKSB itu perlu diberi perhatian sebelum kerajaan Kelantan memohon sebarang bajet yang besar kepada pusat,” katanya.
Leave a Reply