Kejatuhan ringgit : ‘Suruh orang cadang itu baca laporan ekonomi, bukan laporan PAS’

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyangkal kejatuhan ringgit ketika ini disebabkan ketiadaan Menteri Kewangan sepenuh masa.

Sebaliknya Anwar berkata kejatuhan ringgit disebabkan pelbagai faktor antaranya disebabkan kekangan antarabangsa.

Dia berkata demikian bagi menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman.

“Suruh orang yang cadang itu, baca laporan ekonomi dan kewangan bukannya laporan PAS,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur di Putrajaya.

Terdahulu, Syahir dalam kenyataannya berkata kejatuhan Ringgit dan ketidaktentuan ekonomi menggambarkan Malaysia memerlukan seorang menteri kewangan yang bertugas sepenuh masa dan boleh memberi tumpuan untuk mengubah keadaan.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan ini, ringgit menyusut berbanding dolar AS dan mata wang lain sehingga mencecah paras RM4.60 berbanding satu dolar AS, dan dijangka boleh mencecah paras RM5 jika tidak dikawal.

Portfolio menteri kewangan kini dipegang Anwar yang juga menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengaitkan punca penyusutan ringgit berbanding dolar AS disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, seperti isu siling hutang di Amerika Syarikat (AS) dan tekanan pada kedua-dua sektor perbankan AS dan Eropah.

Bank pusat itu mengingatkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar AS atau mana-mana mata wang tidak menunjukkan prestasi ekonomi Malaysia, yang dijangka terus berkembang empat hingga lima peratus tahun ini.

‘Lantik Johari jadi menteri kewangan kedua’

Sementara itu, Syahir dalam respons kepada perdana menteri berkata dia tidak menyebut mengenai punca kejatuhan Ringgit tetapi penyelesaiannya.

“Yang Amat berhormat (Anwar), saya tidak sebut puncanya, tetapi fokus kepada penyelesaiannya.

“Negara memerlukan seorang Menteri Kewangan sepenuh masa di MOF, menteri kewangan yang kuat dan meyakinkan (a strong, formidable, convincing Finance Minister) kerana hampir mustahil perdana menteri boleh memikul dwi-fungsi ini dalam tempoh kritikal sekarang, “ katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Shahir berkata adalah lebih baik untuk Anwar melantik seorang ‘menteri kewangan kedua’ bagi meringankan bebannya.

“Diketahui bahawa wewenang Menteri Kewangan sangatlah rumit, perlu membuat banyak keputusan penting, menyemak dan menandatangani banyak dokumen setiap hari.

“Malah sebahagian tugasan sulit ini tidak boleh diserahkan kepada timbalan menteri kewangan, apatah lagi timbalan menteri bukanlah ahli mesyuarat kabinet jemaah menteri.

“Justeru bagi meringankan beban yang amat berhormat, saya syorkan bolehlah dilantik seorang menteri kewangan kedua dari kalangan teknokrat berkaliber, ataupun dilantik ahli Parlimen Titiwangsa (Johari Ghani) yang tidak kurang layaknya, seperti dicadangkan oleh Khairy Jamaluddin tempoh hari,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*