Sebak! Mak Ngah buat kejutan lepas 3 hari bapa ‘pergi’

Seorang wanita berkongsi video menyentuh perasaan apabila memberikan kejutan istimewa kepada anak saudaranya yang baru diuji dengan pemergian bapa tercinta pada 29 November lalu.

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Hayati Ahmad atau lebih mesra dipanggil Mak Ngah memberikan baju sejuk kononnya untuk digunakan Amsyar di sekolah, tetapi sebenarnya mahu membawanya ke Korea.

Setelah mengetahui tujuan sebenar, anak saudaranya terus menangis dan memeluk ibu saudaranya dengan erat.

“Sebelum ini, allahyarham telah membesarkan Amsyar sebagai seorang bapa tunggal. Kebetulan pula, keluarga kami telah merancang percutian ke Korea dan bakal terbang 7 Disember nanti.

“Tidak sampai hati membiarkan Amsyar seorang diri, kami senyap-senyap membuat kejutan istimewa untuk membawanya sekali,” kata Mak Ngah, ibu saudara Amsyar.

Kurang dari 24 jam selepas ia dikongsi, rakaman video itu mendapat lebih 1.8 juta tontonan.

Kemesraan keluarga Mak Ngah meraikan Amsyar seolah-olah anak sendiri dipuji netizen.

“Paling sedih apabila anak Mak Ngah bangun peluk Amsyar sekali. Bagusnya, tak ada sikit pun rasa cemburu dan dengki,” komen Syazwani Suzaime.

“Sebagai anak yatim piatu sejak usia muda, ‘banjir’ betul saya tengok video ini. Terima kasih orang baik, semoga Allah membalas kebaikan puan sekeluarga,” tambah Syazana Syabil.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*