Salahuddin : Rakyat Malaysia berhak tinggal di negara ini

Semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tinggal di negara ini, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary yang menyifatkan komuniti LGBT sebagai “bukan manusia” dan “melangkaui batasan haiwan.”

“Kita tidak boleh generalisasi. Kalau ada (jenayah), kita (siasat) kes demi kes. Jika mereka rakyat Malaysia, mereka ada hak untuk tinggal di negara ini.

“Jika ada kesalahan – bukan hanya oleh LGBT – sesiapa yang melanggar peraturan perlu berdepan dengan undang-undang.

“Kita tidak boleh generalisasi dalam isu ini. Kita mesti berhati-hati,” kata Salahuddin pada satu majlis di Subang Jaya, Selangor hari ini.

Sejak Isnin, beberapa ahli parlimen pembangkang merungut mengenai perhimpunan Hari Wanita pada 12 Mac, dengan segelintir peserta perhimpunan dilihat membawa bendera pelangi – simbol yang sering dikaitkan dengan hak LGBT.

Salah seorang daripada mereka ialah Ahmad Mazuk, yang mengkritik komuniti LGBT ketika membahaskan indeks perpaduan nasional.

Rakan sekutu PN dan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor terpaksa menarik balik dakwaannya di Dewan Rakyat bahawa perhimpunan itu dikaitkan dengan gerakan LGBT.

Diminta mengulas mengenai reaksi ahli parlimen pembangkang terhadap perarakan itu, Salahuddin menggesa ahli parlimen supaya mencari fakta yang benar.

“Nasihat saya, tidak kira anda dalam kerajaan atau pembangkang, betulkan fakta anda dan jangan menuduh semata-mata.

“Kita kena berhati-hati. Saya nasihatkan semua ahli parlimen buat kerja rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan berita bahawa beberapa pihak dalam industri makanan telah menarik balik produk Menu Rahmah mereka, Salahuddin, yang merupakan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, berkata program Menu Rahmah adalah secara sukarela.

Bagaimanapun, dia berkata pegawainya akan menyiasat perkara itu dan keputusannya akan dilaporkan kepada kabinet.

“Saya tak nak sebut galak tidak galak. Sesiapa yang nak buat untk konsep rahmah, dia boleh buat.

“Ada banyak report yang kita terima, ada yg niaga di bawah pokok tetapi dengan makanan dia sedap dan lazat, dia jual RM5, dia jadi popular dan dia dpt tambah bilangan masakannya, boleh katakan menu rahmah jadi satu enjin ekonomi.

”Itu pun banyak kita terima,” katanya.

Program Menu Rahmah menggalakkan mereka dalam industri makanan menjual makanan berkualiti tanpa caj pada harga hanya RM5. Setakat ini, pelbagai subsektor, termasuk rantaian makanan segera, telah menerima pakai konsep tersebut.

Pada 22 Feb, Salahuddin memberitahu parlimen bahawa program Menu Rahmah adalah penyelesaian jangka pendek yang bertujuan membantu golongan tertentu masyarakat yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*