Salahuddin : Misi Perdagangan Malaysia sebahagian usaha kerajaan meningkatkan eksport francais ke negara luar

Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne, Australia bersempena Franchising & Business Opportunities Expo 2023 (FBOE 2023) berjaya menarik nilai potensi pelaburan berjumlah RM30 juta dari negara berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata potensi pelaburan berkenaan adalah termasuk hasil gandaan ekonomi seperti peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, serta potensi eksport dari Malaysia ke Australia.

“Penyertaan yang rancak daripada pemain industri francais semasa misi itu berlangsung dijangka akan membawa lebih banyak jenama francais yang mapan dari Australia untuk diperkenalkan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

“Ini akan mengukuhkan hubungan ekonomi di antara dua negara dan Australia adalah di antara 10 negara teratas sebagai rakan global Malaysia,” katanya .

Salahuddin mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi sulungnya bagi Misi Perdagangan Francais Malaysia ke Melbourne bersempena FBOE 2023.

Misi perdagangan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan lebih banyak eksport francais ke negara luar.

Delegasi terbabit juga terdiri daripada pegawai daripada KPDN, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Persatuan Francais Malaysia (MFA) serta lapan jenama francais terkemuka Malaysia iaitu Oldtown White Coffee, Marrybrown, Smart Reader Kids, Q Dees, US Pizza, Laundrybar, CheeseU dan HOME Maths Therapy.

“Misi perdagangan antarabangsa Francais Malaysia ini adalah yang pertama untuk tahun ini. Selain itu, terdapat cadangan beberapa negara lain untuk misi perdagangan seperti Thailand, Indonesia, Türkiye dan India yang akan bermula dari Julai sehingga Oktober depan,” katanya.

Ketika berucap pada Majlis Perasmian Pavilion Malaysia di FBOE 2023, Salahuddin berkata, objektif utama misi perdagangan berkenaan adalah bertujuan untuk memacu dan menggalakkan pengembangan jenama Malaysia ke Australia termasuk bekerjasama dengan pelabur berpotensi dan bersesuaian.

“Ia adalah satu peluang yang baik bagi syarikat Francais Malaysia untuk bekerjasama dengan bakal ahli perniagaan Francais Australia bagi mengembangkan perniagaan mereka di pasaran negara berkenaan. Saya percaya terdapat banyak peluang perniagaan untuk diterokai di Australia.

“Baru-baru ini, Marrybrown telah melantik francaisi induk di Australia, manakala Smart Reader Kids telah membuka cawangan keempat di Melbourne.

“Ini adalah contoh yang baik untuk syarikat lain untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan mempromosikan jenama Malaysia. Hal ini sekali gus meningkatkan reputasi Malaysia di pasaran eksport antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Nik Muhammad Nasyron Syah Nik Daud; Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan dan Perniagaan Pengedaran KPDN, Datuk Rohaizi Bahari; Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Ahmad Sabki Yusof; dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan.

Untuk rekod, sehingga kini sebanyak 68 jenama francais Malaysia telah berkembang ke 75 negara. Antara jenama Francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Australia ialah Marrybrown, Tealive , Global Art, Smart Reader Kids, Aloha Mental Arithmetic, dan banyak lagi.

Selain itu, misi terbabit turut mengadakan beberapa aktiviti lain seperti lawatan ke Australian Business Registry Services (ABRS), Konsulat Jeneral Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), syarikat francais tempatan, agensi, persatuan, pihak berkepentingan termasuk sesi perbincangan meja bulat dengan pihak Franchise Council of Australia (FCA).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*