Salahuddin : KPDN tempatkan pegawai di lokasi strategik pantau SHMMP

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menempatkan pegawainya di lokasi strategik bagi memantau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, strategi itu bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Tindakan segera juga dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, berdasarkan tinjauan di sebuah pasar raya di Kota Kinabalu, beliau mendapati terdapat beberapa barangan dijual dengan harga lebih rendah daripada harga kawalan.

Tegasnya, situasi itu menggambarkan peniaga bersama-sama dengan pihak kementerian dalam menjayakan skim tersebut.

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Pesta Kaamatan 2023 berkuat kuasa dari 27 Mei 2023 hingga 2 Jun 2023.

Tempoh pelaksanaan adalah selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“Sebanyak lapan jenis barangan dikawal di bawah pelaksanaan skim ini.

“Selain itu, enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur sedang dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari 2022,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*