Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang menjamu ahli parlimen dan kakitangannya dengan hidangan Menu Rahmah.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata langkah itu dibuat untuk memberi peluang kepada ahli parlimen merasai sendiri hidangan yang kini disediakan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
“Saya nak cadangkan satu hari (nanti), semua pemain industri terlibat dengan menu rahmah ini, kita belanja semua ahli parlimen, kakitangan parlimen untuk nikmati Menu Rahmah, insya-Allah,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi KPDN.
Buat masa ini kata Salahuddin pihaknya akan melihat senarai menu yang sesuai untuk dihidangkan.
Menu Rahmah merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu golongan orang ramai khususnya yang kurang berkemampuan menikmati hidangan tengah hari dan malam pada harga maksium RM5.
Ia melibatkan nasi putih, ayam atau ikan dan sayur. Setakat ini pelbagai pihak sudah menyambut inisiatif berkenaan.
Pada masa sama isu tersebut turut menarik kontroversi apabila Ahli Parlimen Kapar (PAS-PN) Dr Halimah Ali didakwa mengaitkan inisiatif berkenaan dengan kemungkinan risiko kesihatan seperti kanser dan autisme.
Ia mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk NGO yang berkaitan dengan autisme, pihak restoran serta individu yang mempunyai latar belakang perubatan.
Sesetengah mereka menganggap kenyataan itu adalah suatu penghinaan terhadap orang kurang upaya (OKU).
Bagaimanapun Halimah mendakwa dia tidak menuduh Menu Rahmah sebagai punca seseorang menghidap kanser atau austime. Sebaliknya ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu menuduh media sebagai punca ‘salah faham’ tersebut.
Sementara itu Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mencelah berkata dia tidak faham mengapa ada pihak tertentu yang memperlekeh atau mempolitikkan Menu Rahmah.
Mengulas lanjut Salahuddin berkata ketika ini semakin ramai pihak yang berkenaan tampil mahu menyertai inisiatif kerajaan termasuk rangkaian makanan segera di seluruh negara.
Ahli parlimen Pulai itu juga mengakui Menu Rahmah bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada isu kos sara hidup di negara ini.
“Pasukan Bertindak Kos Sara Hidup yang di dalamnya ada 11 kementerian sedang berusaha keras untuk menangani isu sekarang,” katanya.
Leave a Reply