Keputusan membenarkan dua syarikat gula tempatan mengeluarkan gula putih bertapis jernih atau gula premium, bertujuan memastikan harga runcit gula putih kasar dan halus tidak dinaikkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata tindakan itu juga bertujuan membantu dalam menampung kerugian dua syarikat terbabit iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) akibat lonjakan kos pengeluaran gula yang ketara.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil kira beban kewangan yang perlu ditanggung jika memperkenalkan subsidi gula untuk mengekalkan harga kawalan runcit gula putih dan halus, atau dipanggil gula rakyat.
“Menerusi kebenaran penjualan gula premium kepada MSM dan CSR, kerajaan dapat mengekalkan harga kawalan runcit gula rakyat pada kadar semasa, selain menambah pilihan produk gula dalam pasaran tempatan kepada pengguna.
“Kos pengeluaran gula ketika ini meningkat kepada RM3.73 sekilogram akibat harga gula mentah dunia melonjak sehingga 134 peratus bulan lalu, selain harga gas asli dunia naik sebanyak 143 peratus bagi tempoh sama.
“Situasi itu menyebabkan MSM dan CSR mengalami kerugian kerana kos pengeluaran gula rakyat ketika ini adalah 31 peratus lebih tinggi berbanding harga kawalan runcit RM2.85 sekilogram (gula kasar) dan RM2.95 sekilogram (gula halus) yang ditetapkan kerajaan,” katanya ketika memberi penerangan mengenai kebenaran pengeluaran gula putih bertapis jernih di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada 25 Mei lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan kerajaan membenarkan MSM dan CSR mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang harganya tidak dikawal kerajaan, sebaliknya ditentukan pasaran.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, MSM dan CSR telah memohon kepada kerajaan supaya harga kawalan runcit gula rakyat ditingkatkan sebanyak RM1 sekilogram, iaitu masing-masing kepada RM3.85 sekilogram (kasar) dan RM3.95 sekilogram (halus), atau sebagai ganti kerajaan memperuntukkan subsidi jika harga kawalan masih dikekalkan.
Namun, katanya, bekalan gula dan kepentingan rakyat isi rumah, penjaja dan peniaga kecil sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Dengan mengambil kira kos pengeluaran semakin membebankan serta kemaslahatan industri gula tempatan termasuk tanggungan kerajaan sekiranya membabitkan pemberian subsidi, maka kementerian mengambil keputusan membenarkan pengeluaran gula jernih (gula premium) untuk dijual di pasaran runcit bertujuan memberikan pilihan kepada pengguna,” katanya.
Salahuddin menegaskan, pengeluaran gula premium tidak akan menggantikan bekalan gula kasar dan halus yang akan terus dikeluarkan kedua-dua syarikat selaras keperluan pengguna dan peniaga.
Katanya, kerajaan mengarahkan MSM dan CSR untuk memastikan bekalan gula rakyat sentiasa mencukupi dan tidak terjejas selaras Peruntukan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan mematuhi jumlah minimum pengeluaran dan pengedaran yang ditetapkan.
Berdasarkan arahan itu, katanya, kedua-dua syarikat gula berkenaan perlu memastikan pengeluaran dan pengedaran 42,000 tan metrik gula rakyat sebulan, dengan MSM perlu mengeluarkan 24,000 tan metrik gula dan CSR (18,000 tan metrik) dan ia dipantau setiap hari.
“Berdasarkan pemantauan, pengedaran bekalan gula pada Mei 2023 oleh MSM adalah sebanyak 28,243 tan metrik bagi gula rakyat (kasar dan halus), manakala pengedaran gula jernih adalah sebanyak 772 tan metrik.
“Bagi CSR pula, pengedaran gula rakyat (kasar dan halus) sebanyak 16,546 tan metrik. Buat masa ini, CSR masih belum mengeluarkan gula jernih,” katanya.
Turut baca : Kerajaan tanggung RM200 juta sebulan teruskan subsidi ayam, telur
Leave a Reply