Saintis temui ‘jalan bata kuning’ 3,000 meter di dasar laut

Sebuah ekspedisi yang dilakukan di utara Kepulauan Hawaii mendedahkan penemuan di dasar sebuah jurang dengan sesuatu kelihatan seperti jalan bata kuning, lapor laman berita Science Alert.

Penemuan itu dibuat oleh kapal peneroka Nautilus awal tahun ini semasa meninjau puncak Liliʻuokalani dalam Monumen Nasional Marin Papahanaumokuakea (PMNM).

PMNM ialah salah satu kawasan pemuliharaan marin terbesar di dunia, lebih besar daripada gabungan semua taman negara di Amerika Syarikat (AS) dan saintis hanya meneroka kira-kira 3 peratus daripada dasar lautnya.

Penyelidik di Ocean Exploration Trust mengkaji sempadan hutan belantara itu yang terletak lebih daripada 3,000 meter di bawah laut.

Rakaman ekspedisi itu diterbitkan di YouTube pada April lalu yang merakamkan detik penyelidik mengendalikan kenderaan laut dalam sebelum terjumpa jalan itu.

“Ia adalah jalan ke Atlantis,” seorang penyelidik di radio didengari berkata.

“Jalan bata kuning?” suara lain membalas.

“Ini pelik,” tambah seorang lagi ahli pasukan itu.

Pasukan itu menyatakan bahawa laluan tersebut kelihatan hampir seperti ‘kerak panggang’ yang boleh dikupas.

Dalam satu bahagian kecil, batu gunung berapi itu telah retak dengan cara yang kelihatan sangat mirip dengan batu bata.

“Rekahan bersudut 90 darjah itu mungkin berkaitan dengan tekanan pemanasan dan penyejukan daripada pelbagai letusan di kawasan ini,” demikian kapsyen pada video itu.

Pada pandangan pertama, rekahan itu mudah disalah anggap sebagai laluan ke dunia baharu yang indah.

Saintis temui ‘jalan bata kuning’ 3,000 meter di dasar laut

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*