Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya ia usaha kerajaan Persekutuan mendekati rakyat dan kepimpinan kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penganjuran majlis sempena sambutan Aidilfitri di peringkat negeri itu dapat memberikan akses sebanyak mungkin kepada rakyat dari negeri berkenaan untuk hadir, berbanding jika dianjurkan di Putrajaya.
“Bukan semua orang dari negeri (lain) dapat berkunjung ke rumah terbuka ini jika ia diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, maka pilihan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mendekati dan meraikan sebanyak mungkin rakyat.
“Malah, banyak acara peringkat kebangsaan juga dirancang untuk diadakan di luar Putrajaya bagi mencapai hasrat menguatkan kerjasama (dengan negeri-negeri termasuk dipimpin pembangkang) ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah di Alor Setar malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kritikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap majlis rumah terbuka itu yang dianggap sebagai program kempen PRN dan ia tidak wajar diadakan.
Muhammad Sanusi berkata ini kerana program itu melibatkan kos yang tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan, oleh itu majlis rumah terbuka Aidilfitri seharusnya diadakan di satu lokasi sahaja iaitu di Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata kerajaan Persekutuan komited untuk membuat perbelanjaan berhemah, sekali gus tiada isu pembaziran menerusi penganjuran majlis itu.
Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri akan dimulakan di Kedah pada 29 April ini, diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Selangor pada 14 Mei.
Leave a Reply