RM109,000 lesap: Polis kecewa sekolah tak mohon pengiring

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan mempersoalkan tindakan pihak sekolah kerana tidak memohon bantuan pengiring keselamatan sehingga membawa kejadian rompakan wang tunai bantuan awal persekolahan (BAP) RM109,000 di Semenyih, semalam.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan sekolah yang mengeluarkan wang itu tanpa melibatkan polis.

Katanya, polis sudah lama menyediakan perkhidmatan pengiring keselamatan kepada lebih 100 sekolah di sekitar Kajang yang ingin mengeluarkan wang tunai di bank.

“Hasil soal siasat terhadap guru besar sekolah berkenaan, dia memberitahu tidak pernah meminta bantuan pengiring sejak 10 tahun berkhidmat dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.

“Kita syorkan pada pihak sekolah untuk dapatkan bantuan pengiring daripada polis. Kita akan iring mereka dari bank hingga ke tempat selamat,” katanya menurut Sinar Harian.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, wang BAP itu dikeluarkan guru besar sebuah sekolah dari bank di Kampung Baru Semenyih sebelum ia ditinggalkan dalam kenderaan miliknya.

KEADAAN cermin kereta dinaiki seorang guru besar sebuah sekolah yang dipecahkan penjenayah sebelum melarikan beg berisi wang tunai bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 di pekan Semenyih, Selangor.

Siasatan lanjut mendapati selepas mangsa berusia 50 tahun mengeluarkan wang itu yang berada di dalam sebuah beg, ia kemudian ditinggalkan di dalam kenderaan jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang.

Mangsa kemudian pergi ke sebuah restoran untuk membeli minuman. Selang hampir 10 minit apabila dia kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin kereta miliknya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang dan beg berisi wang tunai itu telah dicuri.

Sementara itu, Zaid berkata, polis melakukan siasatan menyeluruh termasuk unsur kecuaian dan pembabitan “orang dalam”.

“Buat masa ini kita teruskan siasatan dengan meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti individu yang keluar masuk dari bank berkenaan.

“Kita akan siasat dari semua sudut, kemungkinan ada penglibatan ‘orang dalam’, kemungkinan ada kecuaian. Kita sudah rakam keterangan guru besar berkenaan dan akan ada lagi pihak akan dirakam keterangan dalam masa terdekat,” katanya.

RM109,000 lesap: Polis kecewa sekolah tak mohon pengiring

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*