Beberapa kenderaan mewah disita susulan siasatan kes rasuah dalam tender kerajaan yang turut membabitkan bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.
Antara kenderaan itu termasuk Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz S400L.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) SPRM berkata semua kenderaan mewah itu kini disimpan di gudang sitaannya.
Menurut SPRM, kenderaan mewah terbabit dipercayai hasil daripada sumber rasuah yang telah diperoleh suspek bersangkutan dengan tender di sebuah kementerian.
Dalam pada itu, SPRM mendapat kebenaran untuk menyambung reman bekas setiausaha politik dan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu berhubung kes meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.
SPRM dalam kenyataan berkata perintah reman selama tiga hari itu membabitkan kedua-dua suspek berusia sekitar 40-an.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, kedua-dua suspek direman empat hari bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan terhadap kes berkenaan.
Mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat serta kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian pada 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman terhadap dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Turut baca :
Leave a Reply