Rasuah lebih RM500,000, 7 pegawai imigresen ditahan SPRM.
Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan terhadap tujuh pegawai jabatan itu yang ditahan bagi membantu kes rasuah Isnin lalu, kata Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.
Beliau berkata, penahanan tujuh pegawai disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen imigresen secara tidak teratur serta didakwa melindungi warga asing itu adalah hasil kerjasama Jabatan Imigresen dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.
“Kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan mereka yang akan dilaksanakan secara penuh profesional,” katanya.
Pada 13 Jun lalu, SPRM dilaporkan menahan tujuh pegawai penguat kuasa dan dua individu termasuk warga asing bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM500,000.
Enam pegawai penguat kuasa termasuk pegawai kanan itu ditahan di Sarawak manakala seorang lagi di Selangor.
Khairul menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperoleh wang secara mudah.
“Semua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya.
Turut baca
Leave a Reply