Punca Muhyiddin, Hadi tolak jadi Ketua Pembangkang akhirnya didedah

Veteran DAP Lim Kit Siang memberi sebab mengapa Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi tidak mahu menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Katanya, terdapat tiga alasan membuatkan Muhyiddin tidak mahu menjadi Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Dia tidak mahu berhadapan dengan tiga perkara berikut di Parlimen: Kedudukannya sebagai Perdana Menteri pintu belakang yang pertama yang tidak berani untuk menguji keabsahan kerajaannya di Parlimen dengan satu undi percaya.

“Perbuatannya untuk menggantung sidang Parlimen secara haram dan tidak sah.

“Kegagalannya dalam menguruskan wabak Covid-19 yang telah menyebabkan negara kita berhadapan dengan gelombang penularan Covid-19 yang terpanjang di dunia,” kata Kit Siang.

Punca Muhyiddin, Hadi tolak jadi Ketua Pembangkang akhirnya didedah
Lim Kit Siang

Dalam hantaran terbaharu di dalam blognya, Kit Siang turut mendakwa Muhyiddin masih belum berputus asa dan masih berusaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Justeru atas sebab itu Muhyiddin tidak meninggalkan jawatannya sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pengerusi Perikatan Nasional.

Sementara itu Kit Siang juga berkata, mengikut keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 Abdul Hadi juga sepatutnya menjadi Ketua Pembangkang.

Ini kerana Pas telah menenangi 43 kerusi manakala Bersatu hanya memenangi 31 kerusi.

“Namun, Hadi mahu menggunakan Perikatan Nasional sebagai pelindung untuk dia terus menyebarkan politik toksik berasaskan penipuan, syak wasangka, kebencian, sentimen perkauman, dan keagamaan untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia.

“Seperti yang dilakukan melalui serangannya terhadap DAP yang mengatakan kononnya DAP bersifat anti Melayu, anti Islam, komunis, dan mempromosikan Islamofobia,” kata Kit Siang.

PN sebelum ini sepakat untuk melantik Ahli Parlimen Larut, yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PN yang turut bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN manakala Abdul Hadi sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*