PRU15: Anak Tun Dr Ismail berikrar ‘buru’ Zahid di mana saja

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail, berikrar untuk mencabar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Anak sulung Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman itu berkata, langkah tersebut diambilnya sebagai cara yang dianggap cukup kuat dan berkesan untuk menghantar mesej antirasuah kepada orang ramai.

“Saya akan lawan (Ahmad Zahid) di Bagan Datuk atau di mana sahaja dia akan lari. Kempen saya adalah rakyat lawan rasuah.

“Saya akan menyeru semua rakyat Malaysia yang benci rasuah untuk melihat perjuangan saya sebagai perjuangan mereka,” katanya.

Tawfik, 71, memaklumkan dia akan bertanding sebagai calon bebas di bawah platform Gerak Independent (GI).

Menjelaskan lebih lanjut percaturan politiknya, Tawfik berkata, penting untuk dia mencabar seseorang yang bertaraf pemimpin agar mesej yang mahu disampaikan benar-benar berkesan.

“Semua orang lain macam bilis,” katanya.

Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon berpotensi untuk menyertai PRU ke-15 bagi kawasan parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.

Untuk rekod kesemua kerusi tersebut dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU 2018.

Tawfik juga menjelaskan dia memang tidak berniat untuk memecahkan undi PH sebaliknya mahu membawa mesej antirasuahnya ke kawasan Melayu.

“Orang Melayu mesti mengambil semula kompas moral dan perlu ada seorang Melayu untuk menunjukkan jalan tersebut,” katanya.

Tawfik dipilih sebagai ahli parlimen Sungai Benut pada 1986. Dia bagaimanapun meninggalkan Umno pada tahun berikutnya selepas pemilihan pucuk pimpinan parti yang kecoh.

Dia pernah menjadi ahli korporat dan berkhidmat dalam syarikat perniagaan Umno, Fleet Group Sdn Bhd. Dia juga memainkan peranan menubuhkan TV3 pada 1984.

Bagaimanapun Tawfik akan berdepan cabaran besar untuk menundukkan Ahmad Zahid di kawasan yang dianggap kubu kuat presiden Umno berkenaan.

Ahmad Zahid sudah memenangi kerusi tersebut selama enam penggal sejak 1995.

Turut baca :

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*