PRN : Salahuddin ‘dedah’ punca kerusi AMANAH kurang dari UMNO

PRN : Salahuddin ‘dedah’ punca kerusi AMANAH kurang dari UMNO. Parti Amanah Negara (Amanah) tiada masalah untuk bertanding dalam jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kurang berbanding UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, bulan depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, hal itu kerana persefahaman telah dicapai iaitu setiap parti terlibat akan bertanding di kerusi dimenangi mereka, sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, Amanah tidak mempunyai masalah dengan agihan kerusi antara parti-parti yang mewakili kerajaan Perpaduan.

“Daripada segi prinsip, kita dah tetapkan iaitu setiap parti bertanding di kerusi dimenangi mereka, jadi tidak timbul sebarang masalah kerana perkara itu telah diputuskan peringkat kepimpinan tertinggi.

“UMNO memang bertanding lebih banyak kerusi sebenarnya kerana mereka menang banyak, ambil sahaja contoh di Negeri Sembilan, banyak kerusi mereka menang sedangkan Amanah hanya tiga sahaja.

“Jadi tidak timbul sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare Sdn. Bhd. di pusat beli belah Paradigm Mall, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Salahuddin (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Inisiatif Payung Rahmah Bersama Zero Healthcare di Paradigm Mall, Johor Bahru.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Barisan Nasional (BN) bakal bertanding lebih 100 kerusi dalam PRN enam negeri, iaitu kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor turut memberitahu, Amanah dijangka bertanding di lebih 30 kerusi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*