Tular surat mohon pas lawatan istimewa pekerja REE China, Sanusi gagal perjelas isu sebenar

Ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat gagal memberi penjelasan termasuk ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai isu sebenar yang berlaku di kawasan hutan Bukit Enggang, Sik, tular satu dokumen mengejutkan.

Tular surat mohon pas lawatan istimewa pekerja REE China, Sanusi gagal perjelas isu sebenar

Surat bertarikh 3 Ogos 2020 itu menunjukkan Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri telah memohon pas lawatan pekerja asing dari China untuk bekerja di kawasan hutan simpan terbabit.

“Sokongan bagi mendapatkan pas lawatan ikhtisas bagi tenaga kerja teknikal, pengurusan dan profesional dari China untuk kerja-kerja penjelajahan dan penyediaan awal pemasangan infrastruktur galian mineral di negeri Kedah,” demikian tajuk surat itu.

Surat daripada Menteri Besar Kedah tersebut ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung PN.

Susulan tersebarnya surat tersebut, Sanusi dilihat sejak awal telah bekerjasama dengan syarikat dari Republik Rakyat China (PRC) bagi penerokaan mengeluarkan unsur nadir bumi (REE) di sekitar Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Sebelum ini, media dan penduduk tempatan mendedahkan wujud aktiviti mengorek REE secara tidak sah oleh kumpulan warga asing yang berselindung atas kebenaran melakukan kegiatan eksplorasi daripada kerajaan negeri kepada syarikat usahasama tempatan dan luar negara.

Ekoran itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada Oktober 2022 dan Februari lalu telah menyerbu tapak berdekatan Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang.

Lebih 50 lelaki warga asing yang disyaki melakukan kegiatan itu dengan 40 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Baling kerana kesalahan menceroboh hutan pada April lalu.

Namun, Sanusi dalam kenyataan balasnya ketika itu, menegaskan tiada aktiviti penerokaan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberikan lesen penerokaan untuk mengkaji hasil mineral berkenaan sedang menyediakan laporan penilaian alam sekeliling (EIA).

Bekas ADUN Jeneri itu berkata, kerajaan negeri tidak akan bertindak sesuka hati dan hanya melakukan aktiviti perlombongan mengikut undang-undang dan SOP daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Walau bagaimanapun, media minggu lalu melaporkan kegiatan mengeluarkan REE tanpa prosedur operasi standard (SOP) di kawasan hutan itu didakwa masih berlaku di tapak milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata penduduk yang tinggal di sekitar kaki Bukit Enggang memaklumkan bahawa mereka melihat sendiri kehadiran kenderaan pacuan empat roda (4WD) keluar masuk ke kawasan terbabit terutama pada waktu malam.

Katanya, penduduk juga memberitahu wujud kumpulan pekerja seramai 12 orang tinggal di inap desa berdekatan yang sering berulang alik masuk ke kawasan hutan simpan melalui jalan kampung.

Sehubungan itu, beliau menuntut suatu jawatankuasa siasatan khas ditubuhkan pihak berkuasa bersama kerajaan negeri bagi melihat kembali bagaimana kegiatan itu masih boleh berlaku.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggesa kerajaan negeri supaya lebih telus menangani isu penerokaan haram REE yang masih berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Bekas Exco Hal Ehwal Tanah Kewangan dan Hasil Bumi negeri itu berkata, kerajaan negeri patut memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu itu bagi mengelak timbul pelbagai spekulasi kurang baik terutama tanggapan bahawa kegiatan perlombongan di kawasan berkenaan didalangi pihak tertentu.

Tegasnya, isu REE masih menjadi tanda tanya termasuk berkaitan syarikat yang diberikan permit untuk melombong di kawasan hutan simpan tersebut.

Beliau berpendapat isu itu juga semakin parah berikutan berlaku pembongkaran kes pemerdagangan manusia membabitkan warga asing yang bekerja di kawasan itu.

Kelmarin, polis dilapor membongkar kegiatan pemerdagangan manusia serta kecurian REE di Bukit Enggang susulan tangkapan sembilan individu hujung bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, empat suspek tempatan termasuk seorang wanita ditahan pada 21 Jun lalu, manakala seorang lagi ditahan pada 25 Jun lalu.

Dalam hal berkaitan, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil menyifatkan penglibatan beberapa syarikat dalam penerokaan REE di hutan simpan di Kedah itu menimbulkan pelbagai persoalan.

Peguam berkenaan berpendapat tindakan Sanusi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat China dan sebuah lagi syarikat tempatan dilihat sebagai langkah terburu-buru.

Beliau mencabar Sanusi untuk menjelaskan secara terbuka mengenai pemilihan Jangka Bakat (Minerals) Sdn Bhd yang amat meragukan untuk projek REE di kawasan hutan simpan itu.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang berkenaan, syarikat yang belum berusia setahun itu akan bekerjasama dengan syarikat China, Xiamen Tungsten Co Ltd.

“Persoalan yang timbul, apakah peranan utama yang akan dimainkan syarikat Xiamen Tungsten ini dan mungkinkah ia akan menjadi ‘abang besar’ yang berpotensi mengawal sektor nadir bumi Kedah yang dianggarkan bernilai RM62 bilion?

“Bukankah hasil bumi negeri sepatutnya lebih memanfaatkan rakyat Kedah berbanding syarikat asing?” katanya.

Faiz berkata, Jangka Bakat (Minerals) Sdn Bhd dimiliki Datuk Liana Khalid yang turut disenaraikan sebagai pemilik syarikat Jangka Bakat Sdn Bhd yang pernah dinamakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Sanusi juga harus menjelaskan mengapa lesen untuk projek eksplorasi REE di Hutan Simpan Bukit Enggang diberi kepada Prospek Suria Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang 80 peratus dikawal oleh seorang warga asing bernama So Loi Fat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*