Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas tindakan PAS membangkitkan isu pembentangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dengan menyifatkannya sebagai “politik murahan”.
“Masa ada dalam kerajaan dia lupa. Bila jadi pembangkang dia bangkit.
“Itu bukan Islam namanya, itu ‘politik murahan’,” katanya selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Pada 16 Feb lalu, Ahli Parlimen Pasir Mas daripada PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan memaklumkan status terkini akta itu sambil mempersoalkan bila akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ini kerana beliau mendakwa mendapat maklumat Jabatan Peguam Negara sudah meluluskannya untuk dibentangkan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata pindaan itu akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar.
Naim berkata, ketika ini pihaknya sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri.
Akta itu sepatutnya dibentangkan untuk pindaan pada persidangan Dewan Rakyat hujung Oktober lalu, namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.
Draf pindaan kepada akta itu yang dirujuk sebagai rang undang-undang (RUU) 355 bagaimanapun sudah diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt lalu.
Leave a Reply