Polis : Individu menyamar TMJ dapatkan projek diburu

Polis sedang mengesan suspek yang mengaku sebagai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi meminta sejumlah bayaran konon untuk urusan perniagaan.

Timbalan Ketua Polis Johor, Timbalan Komisioner M. Kumar berkata, polis Johor menerima laporan pihak media Istana Johor berkenaan satu tangkap layar Instagram melalui ‘direct message’ dengan menggunakan akaun Tunku Mahkota Johor pukul 2.35 petang tadi.

Beliau berkata, tangkap layar tersebut memaparkan mesej suspek mengaku sebagai Tunku Ismail dan telah dihantar kepada beberapa pihak serta meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram Tunku Mahkota Johor agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan Tunku Ismail.

“Setakat ini, dipercayai mesej itu telah diedarkan kepada lapan buah syarikat dan ada antaranya telah terpedaya dengan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan suspek untuk mendapatkan projek yang ditawarkan,” katanya.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (penyamaran) yang mana boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua- duanya.

Tambah beliau, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga didenda.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*