PM minta maaf terpaksa duduk di meja rasmi kerana protokol keselamatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada rakyat kerana protokol keselamatan memerlukan beliau ditempatkan di meja khas dalam majlis-majlis rasmi yang dihadirinya.

Jelas Datuk Seri Anwar, protokol itu menyekat beliau mendekatkan diri dengan rakyat seperti yang dimahukannya, namun terpaksa mematuhi aturan keselamatan yang ditetapkan.

“Ini kali pertama (selepas puluhan tahun) saya ada meja rasmi dalam majlis di Cherok Tok Kun. Sebelum ini saya datang sini saya suka duduk dengan orang kampung dan orang awam.

“Duduk dengan orang ramai selalu menjadi pilihan saya. Boleh sembang, tanya khabar, gurau senda dan sebagainya. Sebab saya rapat dengan mereka.

“Tetapi sebagai Perdana Menteri saya juga perlu mematuhi peraturan keselamatan. Mereka (pegawai keselamatan) juga ada tugas mereka.

“Jadi saya mohon maaf kepada rakyat kerana tidak boleh duduk dekat dengan mereka,” katanya dalam Majlis Kenduri Rakyat di Cherok Tok Kun, di sini, malam tadi.

Majlis itu dianjurkan sempena kepulangan Datuk Seri Anwar ke kampung halamannya setelah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaimanapun, katanya beliau meminta kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan memberi sedikit kelonggaran untuk menyantuni rakyat di tempat kelahirannya itu.

“Saya minta Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk buat aturan secara sederhana mungkin.

“Boleh saya gunakan peluang ini untuk bergaul rapat dengan kawan, kenalan dan pengunjung yang datang untuk berjumpa saya,” katanya lagi.

Turut hadir, isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Kira-kira seribu orang hadir memeriahkan majlis dan menjamu selera pelbagai hidangan yang disediakan.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*