Gelar ikan kembung ‘ikan cap ayam’, dua pemimpin PAS dikecam

Dua pemimpin kanan Pas menjadi sasaran kecaman ramai setelah ‘gurauan’ tentang ikan kembung yang dilabel sebagai ‘ikan cap ayam’ tular di media sosial.

Dua pemimpin kanan itu ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Tuan Ibrahim ialah Adun Cheka di Pahang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian manakala Nik Zawawi ialah Ahli Parlimen Pasir Puteh penggal kedua.

Menerusi rakaman video yang dikongsi pengguna TikTok @Jasjafni, Tuan Ibrahim ketika itu sedang membelek beberapa jenis ikan termasuk ikan kelah, sebelum lantas bertanya tentang ikan kembung.

“Siapa-siapa yang tak makan (ikan kelah) ni, makna dia tak ada nikmat dunia,” kata Nik Zawawi.

“Ikan kembung ada?,” tanya Tuan Ibrahim.

Nik Zawawi menjawab dengan mengatakan bahawa ikan kembung tiada dan ia bukan makanan mereka.

“Ikan kembung cap ayam ja. (Ikan kembung) kita tak makan,” balas Nik Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh.

Gurauan tersebut telah mengguris perasaan sebahagian besar rakyat kerana ia melibatkan isu makanan rakyat.

“Gurau pun jadi isu,” komen salah seorang pengguna TikTok yang kemudian dibidas dengan yang lain bahawa isu makanan rakyat tidak sepatutnya dibuat main

“Terkejut juga masa mula-mula dengar. Tahu bergurau, tapi terasa hati bagi mereka yang tak mampu,” kata @mohdfarisarifn

Nik Zawawi, mantan timbalan menteri pada pentadbiran lalu, turut tidak terlepas menjadi sasaran kecaman selepas mengatakan kenaikan harga makanan tidak patut dijadikan masalah besar.

Ini kerana katanya, kerajaan pada masa itu sudah memberikan bantuan kewangan pada rakyat, selain turut memberi bantuan subsidi.

“Oleh demikian, kenaikan harga barang tidak sepatutnya menjadi masalah besar kepada mereka (pengguna). Berbanding dengan rakyat dari negara lain, mereka di sana lebih teruk keadaannya daripada kita,” kata Nik Zawawi pada awal Julai tahun lalu.

Sementara itu, melihat reaksi kebanyakan pengguna sosial media berkenaan isu ikan Kembung cap ayam, ramai memberi teguran agar dua pemimpin Pas itu menjaga tutur kata bila berbicara.

“Ya Allah..baru tahu selama ini dok makan ikan cap ayam ja,” komen @fxixrxdxaxuxs88

“Walaun kata bergurau tapi bayangkan kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melawak macam ini. Dah terbalik dunia ni depa punya meroyan,” komen pula @Edda Anissa:

“Ikan Kembung je yang kita mampu beli,” kata @syam

“Melawak pun tengoklah rakyat yang tak boleh makan ikan mahal. Kita YB ni tunjuklah perangai baik,” kata @daris.

Gelar ikan kembung ‘ikan cap ayam’, dua pemimpin PAS dikecam

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*