Pesara wanita ‘berputih mata’ ditipu ‘phone scam’ lebih RM100,000

Seorang pesara wanita berputih mata apabila kerugian RM127,560 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pekerja syarikat penghantar barang dan pegawai polis, September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penipuan bermula selepas mangsa berusia 61 tahun dari Kampung Sungai Tapah Tambahan itu dihubungi seorang individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pekerja syarikat penghantar barang.

Katanya, individu berkenaan memberitahu yang mangsa mempunyai satu bungkusan bermasalah.

“Suspek kemudiannya menyambung panggilan telefon itu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan bercakap dengan dua individu yang mendakwa pegawai polis berpangkat inspektor dan seorang sarjan.

“Mangsa telah diperdaya oleh kedua-dua suspek sehingga dia mengemukakan gambar muka hadapan kad bank miliknya dan diberikan kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, wanita itu hanya menyedari tentang penipuan itu setelah anak perempuannya memeriksa telefon bimbit mangsa.

Katanya, sepanjang penipuan berlaku, mangsa telah membuat tiga transaksi ke tiga akaun bank milik individu berlainan dengan jumlah keseluruhan RM127,560 antara 9 hingga 10 Oktober lalu.

“Mangsa telah membuat laporan polis semalam dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*