Peristiwa 4 Julai 1187.
Hari ini 834 tahun yang lalu, Sultan Salahuddin al-Ayyubi memperoleh kemenangan dalam Pertempuran Hattin.
Sebelum mangkat, Raja Baitulmaqdis, Baldwin IV mengikat perjanjian damai dengan Sultan Mesir dan Syria, Salahuddin al-Ayyubi. Namun pada Disember 1186, Reynald de Chatillon melanggar perjanjian tersebut dengan menyerang rombongan dagang Islam ke Kerak.
Berang, Salahuddin berikrar untuk membunuh Reynald lalu mengumpulkan kekuatan dari segenap wilayah jajahan kerajaan Ayyubid. Sekitar 40,000 tentera dipimpin merempuh tanah jajahan Kristian, bermula dengan menakluk Cresson pada 1 Mei 1187.
Turut baca
- Gadis dakwah rayu pertolongan setelah jadi pemuas ‘nafsu’ lelaki berlagak alim
- {VIDEO} Netizen ‘seriau’ tengok budak tercicir atas jalan
- Wanita hamil tanpa hubungan kelamin undang kekeliruan ramai
Sebagai tindak balas, sekitar 20,000 tentera Salib dipimpin oleh Raja Baitulmaqdis yang baharu, Guy de Lusignan mara ke Safurriya dan mendirikan kem di sana, bersama Reynald dan Balian of Ibelin sebagai panglima kanannya.
Salahuddin menyedari bahawa lebih mudah menewaskan musuh dalam pertempuran terbuka berbanding menyerang mereka di pangkalan, maka beliau menyerang dan menakluk kota Tiberias untuk mengumpan angkatan Salib supaya bergerak dari Saffurya.
Ia berhasil, dan pada 3 Julai, Guy memimpin tenteranya mara ke Tiberias. Namun dalam cuaca panas terik dan berdebu, mereka diserang oleh pasukan pemanah berkuda Ayyubid dari segenap arah dan memaksa mereka bermalam di tengah jalan sambil terus ditekan.
Pada siang 4 Julai, angkatan Salib yang kehausan dan lemah mengubah haluan menuju ke Hattin, di mana ada sumber air. Namun sepanjang itu, mereka terus diasak dengan serangan pemanah ditambah asap daripada pembakaran semak di sekitar oleh tentera Ayyubid.
Segenap laluan ditutup oleh barisan tentera Salahuddin, sehingga akhirnya mereka dikepung. Mereka bertempur namun tidak berdaya lagi melawan, akhirnya tentera Salib menyerah kalah dan Guy dijadikan tawanan perang atas belas Salahuddin.
Namun tidak buat Reynald. Putera Antioch itu yang turut sama ditawan bersama Guy berkelakuan biadap sebelum akhirnya menemui ajal di tangan Salahuddin sendiri, yang melunaskan ikrarnya untuk menghukum si pelanggar janji itu.
Kemenangan di Hattin itu telah meranapkan angkatan tentera Kerajaan Kristian Baitulmaqdis lantas membuka laluan mudah kepada Salahuddin untuk menakluk kota suci itu pada 2 Oktober tahun itu.
Leave a Reply