Perdana Menteri ‘arah’ siasatan Pandora Papers diteruskan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan ke atas isu Pandora Papers.

Beliau berkata, pihak berkuasa berkenaan seharusnya tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit sebaliknya mengambil tindakan tegas selaras dengan bukti diperolehi.

“Arahan saya kepada badan ini untuk teruskan siasatan dan saya mohon semua pihak bersikap tegas, jangan lindungi, kalau ada bukti maka tindakan perlu diambil.

“Kalau tindakan diambil tanpa fakta serta bukti itu boleh dicabar atas dasar penyalahgunaan kuasa atau kepentingan politik,” katanya semasa waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu berhubung pendirian kerajaan mengenai isu Pandora Papers yang timbul semula minggu lalu serta sejauh manakah siasatan dan tindakan susulan oleh SPRM, BNM dan PDRM dilaksanakan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu mengenai tindakan yang telah diambil pihak kerajaan ketika ini, Anwar mengesahkan beberapa individu dipanggil memberi keterangan kepada SPRM dan LHDN.

“Semua yang lari daripada cukai, yang melanggar daripada undang-undang itu sedang disiasat, dan beberapa tindakan sudah pun diambil.

“Namun, sebelum pendakwaan dibuat saya tidak boleh beri penjelasan lebih daripada itu, namun saya beri jaminan dari sudut badan-badan yang telah melapor kepada saya, arahan daripada saya itu jelas.

“Jangan ambil sambil lewa tindakan ini dan biarlah ia sebagai pengajaran dan negara tidak mampu lagi mengizinkan hal ini diteruskan,” jelas beliau.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*