Perbuatan ‘menghendap’ kini satu ‘jenayah’

Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 bagi kesalahan menghendap diluluskan di Dewan Negara.

Ia diluluskan dengan sokongan sebulat suara daripada kesemua pembahas, tanpa sebarang pindaan selepas dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Menurut Ramkarpal, dengan kelulusan kedua-dua RUU tersebut, perbuatan menghendap akan menjadi satu kesalahan jenayah yang membolehkan pelaku disiasat dan dikenakan hukuman di bawah Kanun Keseksaan.

“Manakala pindaan Kanun Tatacara Jenayah memberikan mahkamah kuasa, atas permohonan, untuk mengeluarkan suatu perintah perlindungan terhadap seseorang sedang disiasat atau dituduh dengan kesalahan menghendap dengan tujuan untuk melindungi mangsa perlakuan menghendap tersebut.

“Dengan adanya peruntukan baharu dalam undang-undang berkaitan kesalahan menghendap ini, ia dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat keselamatan diri mereka dalam hal ini adalah dilindungi dan terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, ia selaras dengan hasrat dan komitmen kerajaan menambah baik dan memperkasakan
undang-undang sedia ada dan meletakkan kedudukan Malaysia setara dengan negara lain yang telah lama mewujudkan undang-undang berkaitan kesalahan menghendap.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507A ke dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

Seksyen itu menyebut sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

Menurut rang undang-undang itu, sesiapa melakukan kesalahan menghendap boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*