BERDASARKAN perangkaan setakat 6 Oktober lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan, lebih 771 juta kes Covid-19 dicatatkan di peringkat global.
Daripada jumlah itu, hampir 7 juta individu menemui ajal.
Statistik rasmi juga menyaksikan, sebanyak 13.5 juta dos vaksin telah diagihkan secara total.
Namun, apabila media antarabangsa mendedahkan tentang kewujudan satu lagi wabak diberi nama Penyakit X yang dimomokkan lebih ‘buas’ baru-baru ini, ramai terperanjat besar.
Masakan tidak, dunia baru sahaja mahu bernafas lega, tiba-tiba dikejutkan dengan berita yang tidak enak didengar lantaran ia melibatkan nyawa.
Sehingga sekarang pun, mangsa dan waris masih lagi berhutang jawapan tentang di mana dan bagaimana virus Covid-19 berasal.
Di laman sosial, khalayak dunia meluahkan rasa bimbang, tidak kurang juga yang trauma dengan pengalaman menjadi mangsa termasuk kehilangan orang tersayang.
Lebih menambah ketakutan, pandemik itu diramal akan meragut kira-kira 50 juta nyawa iaitu berpuluh-puluh kali ganda berbanding angka Covid-19.
Jika ditelusuri secara teliti laman web WHO, sebenarnya pihak berkenaan telah pun mengumumkan tentang wabak itu pada 21 November tahun lalu.
Mereka telah memanggil lebih 300 saintis (pada 18 November 2022) untuk mempertimbangkan bukti mengenai lebih 25 keluarga virus dan bakteria serta Penyakit X. X disertakan untuk menunjukkan patogen tidak diketahui yang boleh mencetuskan wabak serius.
Pandemik itu juga telah digembar-gemburkan bakal mengulangi tragedi Spanish Flu yang terjadi pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Pertama sekitar tahun 1918.
Gelombang pertama virus masih boleh dikawal, namun arus seterusnya menyaksikan pesakit mati selepas beberapa jam atau hari partikel halus itu menular. Bayangkan jika berlaku pada zaman milineal ini!
Melalui informasi daripada buku berjudul American Pandemic: The Lost Worlds of the 1918 Influenza Epidemic, terdapat 500 juta orang dijangkiti Spanish Flu dengan 50 juta kematian direkodkan. Bagaimanapun, jumlah sebenar dipercayai jauh lebih besar.
- Turut baca : SPRM bongkar syarikat tipu bekalan beras di Kedah
Leave a Reply