SPRM bongkar syarikat tipu bekalan beras di Kedah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar satu kegiatan penipuan pembekalan beras sebanyak 28,000 tan metrik bernilai RM100 juta melibatkan sebuah syarikat di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makan ruji itu di negara ini.

Menurut sumber SPRM, syarikat tersebut sebelum ini dipercayai mendapat kontrak pembekalan beras di Semenanjung Malaysia daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun, kira-kira tujuh tahun lepas.

“Berdasarkan kontrak itu, syarikat tersebut telah membuat pinjaman bank sebanyak RM30 juta sebagai pembiayaan projek terbabit beberapa tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut sumber itu, pengarah syarikat berkenaan disyaki telah berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri bagi mengesahkan pembelian dan penghantaran 28,000 tan metrik beras setahun, namun pembekalan itu tidak dibuat.

Katanya, sebelum ini syarikat itu telah mengemukakan dokumen dengan butiran matan palsu kepada pihak bank untuk tujuan permohonan pembiayaan pinjaman berkenaan dan telah menerima amaun sebanyak RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*