Penjenayah larikan barang kemas RM1.4 juta diburu

Polis giat mengesan sekumpulan lelaki disyaki melakukan samun bersenjata ke atas dua lelaki berhampiran sebuah kedai emas di pusat bandar di sini dan melarikan barang kemas dianggar bernilai RM1.4 juta, pagi tadi.

Video kejadian memaparkan sekumpulan individu menyamun sebuah kereta di tempat parkir berhampiran premis kedai emas itu turut tular di laman sosial hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kejadian membabitkan dua lelaki disamun beberapa lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang serta dan penukul, sebaik tiba di lokasi itu.

“Laporan kejadian diterima jam 11.22 pagi tadi dan mangsa yang disamun bukan pekerja kedai emas, sebaliknya jurujual yang membekalkan barangan kemas untuk dihantar ke kedai emas di bandar ini.

“Dalam kejadian itu, cermin kereta mangsa dipecahkan suspek sebelum melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1.4 juta.

“Ketika kejadian, mangsa baru keluar dari kenderaan dan membawa emas untuk dihantar ke kedai emas di Kuala Kangsar dari Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menyalurkannya kepada ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias, di talian 013-9285436 atau 05-7762222.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*