Penganggur tinggalkan mayat anak kekasih selepas kemalangan didakwa empat pertuduhan

Penganggur tinggalkan mayat anak kekasih selepas kemalangan didakwa empat pertuduhan.

Seorang penganggur yang bertindak meninggalkan mayat anak kekasihnya selepas kejadian kemalangan Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, Ahad lalu didakwa atas empat pertuduhan di Majistret Tampin, di sini, hari ini.

Tertuduh, Khairul Azuan Dollah, 29, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu mencuri kenderaan serta dua kes dikehendaki membabitkan kesalahan narkotik yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 27 Jun lalu, kira-kira pukul 4.35 pagi di Jalan Sungai Dua – Jelai telah didapati dalam milikan tertuduh dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 2.50 gram.

Justeru itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama dan mahkamah menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Berita berkaitan :

Bagi pertuduhan kedua, pada 26 Jun lalu, kira-kira pukul 11.45 malam, di Jalan Lingkaran Tengah Jelai dari Jalan Besar Tampin Gemas, tertuduh telah mencuri sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

Kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan denda.

Tertuduh juga turut mengaku bersalah atas pertuduhan ketiga dan keempat membabitkan kes dikehendaki berkaitan memasukkan dadah ke dalam badan iaitu di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Bagi pertuduhan kedua, Kartini menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda sebanyak RM2,000.

Manakala, bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman 10 dan 15 bulan penjara dari tarikh sabitan kes serta dua tahun pengawasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*