Pemilik kedai makan tak sangka pelanggan singgah makan naik helikopter

LANGKAWI – Seorang pemilik sebuah kedai makan di Kampung Mawat, Ulu Melaka di sini tidak menyangka apabila premisnya didatangi pelanggan yang menaiki helikopter, tengah hari semalam.

Pemilik Dangau Langkawi, Mohd. Zaidi Abu Hassan, 40, memberitahu, pada mulanya dia menerima panggilan daripada seorang individu yang disangkakan hanya bergurau untuk berkunjung ke kedainya dengan helikopter.

“Pada mulanya saya beritahu individu tersebut bahawa kawasan kedai saya tidak mempunyai tempat pendaratan dan dia ada bertanya sekiranya ada tanah kosong luas yang berhampiran.

“Saya beritahu memang ada tanah kosong dan mereka minta gambar kawasan tersebut sebelum memaklumkan akan tiba dalam tempoh 20 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Zaidi memuat naik video berdurasi lebih satu minit memaparkan sebuah helikopter dinaiki beberapa individu sedang mendarat berhampiran kedainya.

Menurutnya, pelanggan terbabit tiba dengan helikopter kira-kira pukul 2 petang dan meluangkan masa selama sejam untuk menikmati makanan tengah hari di kedainya.

“Mungkin mereka tertarik dengan cara hidangan tradisional Melayu di YouTube atau TikTok saya yang membuatkan mereka ingin datang ke Dangau Langkawi, tetapi cara mereka datang kita katakan cara kayangan,” ujarnya.

Tambahnya, kira-kira tujuh individu menaiki helikopter tersebut termasuk juruterbang, selain dua buah kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire yang membawa kenalan mereka turut serta makan di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan pergerakan helikopter tersebut ke lokasi itu mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

“Penerbangan dan pendaratan tersebut dalam pengetahuan dan kebenaran kawalan trafik udara (ATC) Langkawi,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*