Pemandu peribadi ditahan belasah individu hingga pengsan

Seorang lelaki dibelasah sehingga tidak sedarkan diri dalam satu kejadian di tepi Jalan Memanda 9, Jalan Ampang, dekat sini pada Jumaat.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang telah menunjukkan isyarat lucah kepada sebuah kereta yang berhenti secara mengejut di plaza tol.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang wanita tempatan mengadu bahawa sebuah kereta jenis Toyota Alphard telah berhenti di hadapan kenderaannya dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu.

Beliau berkata, wanita berusia 49 tahun itu mendapati suspek yang juga pemandu kenderaan Toyota Alphard terus keluar daripada kereta dan mengetuk cermin keretanya.

“Suspek telah memarahi suami pengadu (mangsa) dan memukul mangsa sehingga terjatuh serta tidak sedarkan diri.

“Suspek juga menendang pintu sebelah kanan kereta mengakibatkan kerugian anggaran sekitar RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Mohd Azam, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 47 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kanan, bengkak dan berdarah.

Katanya, mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Ampang dan disahkan mengalami ‘hematoma right eye’.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan mangsa menunjukkan isyarat tangan kepada suspek yang berhenti mengejut pada lorong Smart Tag sebelum beralih ke lorong ‘Touch n Go’.

Jelasnya, suspek warga tempatan berusia 44 tahun berjaya ditahan sekitar jam 10 malam di Jalan Kampung Melayu Tambahan, di sini pada Jumaat.

“Semakan mendapati pemandu peribadi itu negatif sebarang pengaruh dadah tetapi mempunyai tujuh rekod jenayah lampau tidak dikehendaki,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu sehingga 30 April ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan ekoran melakukan perbuatan khianat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*