Pemandu bas tercampak keluar maut, 22 penumpang cedera dan selamat

Seorang pemandu bas express maut selepas tercampak keluar dari bas dipandunya dalam kemalangan di KM 154, Lebuh Raya Utara Selatan, Arah Utara, di sini awal pagi semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, PPgB Mohd. Farizan Mokhtar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.09 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah bas express yang membawa 22 orang penumpang dan sebuah kereta jenis Mazda.

“Pemandu bas iaitu lelaki dewasa telah tercampak keluar dari kenderaan dan mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian. Bas terbabit dipercayai dari arah utara ke selatan dan setibanya di lokasi, ia terbabas masuk ke lorong sebelah arah dari selatan ke utara.

“Mengikut maklumat awal, berkemungkinan pemandu bas mengantuk kerana cuaca tidak hujan sewaktu kejadian,” katanya.

Terdapat lapan orang penumpang mengalami cedera ringan iaitu dua lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, 14 lagi mangsa terdiri dari lapan lelaki dewasa, lima perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki terselamat.

“Pemandu kereta jenis Mazda iaitu seorang lelaki dewasa juga tidak mengalami kecederaan. Sewaktu terbabas masuk ke lorong sebelah (bertentangan), bas express telah melanggar kereta mazda yang tidak sempat mengelak.

“Mangsa dihantar ke hospital berhampiran menggunakan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dan BBP Tangkak. Manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.

Komander Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Syukor bersama empat jentera dari BBP Bukit Gambir dan dibantu BBP Tangkak dengan kekuatan 16 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi ditamatkan pada kira-kira lebih kurang pukul 2.21 pagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*