Seorang wanita sanggup bersuamikan dua lelaki kerana mahu terus bersama atas dasar sayang biarpun perbuatan tersebut salah di sisi Islam.
Seorang peguam, Shazril Khairy Mustafa mendedahkan kisah benar itu yang berlaku 10 tahun lalu melibatkan kliennya, seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan awal 20-an di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, kejadian tersebut hanya terbongkar selepas suami pertama yang dikahwini di Selatan Thailand bertindak mengemukakan sijil pendaftaran perkahwinan mereka ke pejabat agama negeri berkenaan.
“Pada awalnya, wanita ini tidak mengaku tentang perkahwinan pertama tersebut dengan menafikan sekeras-kerasnya. Jadi saya bersama bapanya pergi ke Selatan Thailand untuk mengesahkan sijil pendaftaran pernikahan tersebut malah bapa wanita itu juga mengesahkan tulisan anaknya di situ.
“Wanita tersebut akhirnya membuat pengakuan dengan saya secara peribadi setelah didesak berlaku jujur dan memberi alasan bahawa perkara itu berlaku kerana dia sayangkan kedua-dua lelaki tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, perkahwinan pertama memang dirahsiakan dengan keluarga namun wanita berkenaan tidak membantah perkahwinan kedua dengan lelaki pilihan keluarga sehinggalah kejadian tersebut berlaku.
Shazril Khairy berkata, berdasarkan pengakuan yang dibuat, wanita tersebut akan bersama suami pertama pada siang hari dengan memberikan alasan pergi bekerja manakala pada sebelah petang akan pulang ke rumah ibu bapanya untuk bersama sama suami kedua.
“Apabila tahu perbuatan itu, saya nasihatkan bahawa perbuatan ini haram dan tidak boleh diteruskan. Akhirnya wanita ini akur dan memilih untuk berkahwin dengan suami kedua pilihan keluarganya.
“Memandangkan perkahwinan pertama itu sah, jadi pasangan terbabit perlu menjalani proses penceraian di mahkamah dan kemudian perlu akad nikah semula dengan suami kedua selepas tamat idah bercerai dengan suami pertama. Bagaimanapun ketika kejadian berlaku, wanita berkenaan tidak mengandung,” katanya lagi.
Jelasnya, kes-kes seumpama itu banyak terjadi terutama melibatkan perkahwinan rakyat tempatan dengan wanita warga asing yang merahsiakan perkahwinan mereka dan mengatakan sudah bercerai.
Menurutnya, pendedahan yang dibuat itu bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menyedari perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan besar di dalam Islam.
Leave a Reply