PAS ‘jaja’ nama Melayu untuk ‘minta nyawa’ dalam PRN

‘Minta nyawa’ dalam PRN, PAS ‘perkuda’ nama melayu. Pengarah Mobilisasi AMANAH Nasional, Sany Hamzan berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai tidak berpendirian apabila berjabat tangan dengan musuh politiknya Tun Dr Mahathir Mohamad atas kepentingan kononnya demi Melayu.

Beliau merujuk kepada pertemuan beberapa pimpinan tertinggi Pas yang diketuai Hadi yang menandatangani Proklamasi Orang Melayu di hadapan Mahathir pada 3 Mei lalu.

Tambahan pula, dengan menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) kira-kira dua bulan lagi, Sany menganggap tindakan Hadi itu seolah-olah ‘meminta nyawa’ daripada orang Melayu.

“Kita tengok Pas dah jadi parti yang tiada pendirian sebab dulu kita semua tahu dia tak bercakap soal Melayu ni. Dia kata ‘mana boleh bercakap soal berkaitan dengan bangsa. Kita kena bercakap soal Islam.’

“Tapi sekarang, kita tengok dia dah mula berjabat tangan dengan Dr Mahathir sedangkan kita tahu dia memang tak boleh masuk pun sebenarnya dengan Mahathir.

“Tetapi (Hadi berbuat begitu) untuk mendapatkan laba politik dan undi khususnya daripada orang Melayu seolah-olah hidup orang Melayu terancam di bawah kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Ahli Parlimen Hulu Langat berkenaan berkata, apa yang dilakukan Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu semata-mata untuk memancing sokongan Melayu.

Sehubungan itu, Sany mengingatkan supaya rakyat Malaysia menilai semula parti politik seperti Pas yang pendiriannya kerap berubah mengikut kehendak mereka.

Beliau juga menasihatkan Pas agar sebaiknya tidak memainkan isu moral Perdana Menteri 20 tahun dahulu untuk menyerang, sebaliknya mengkritik secara membina pentadbiran Anwar berdasarkan fakta sebenar.

“Sebab itu saya beritahu, kalau kamu (Pas) tak suka Anwar, sebut atas sebab apa kamu tak suka seperti menyentuh dasar pendidikan, dasar luar, pertahanan atau dasar ekonomi bukannya sebut isu moral 20 tahun dulu,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan Anwar: The Untold Story, Sany menganggap filem itu bukanlah sebagai satu bahan yang boleh digunakan untuk meraih sokongan masyarakat dan pengundi dalam PRN akan datang.

Menurutnya, mesej sebenar yang ingin disampaikan menerusi filem itu adalah lebih penting.

“Semangat perjuangan Anwar sepanjang karier politik beliau perlu diambil teladan oleh anak muda,” tambahnya lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*