Presiden Gerakan ‘sekolahkan’ Hadi, semua kaum boleh maju tanpa ‘penyakau’

Latar belakang kaum individu bukanlah faktor penyumbang kepada rasuah, kata Presiden Gerakan Dominic Lau.

Dia mengingatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang – rakan sekutu Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) – bahawa semua individu mempunyai potensi untuk maju berdasarkan usaha mereka sendiri.

“Saya tidak setuju orang bukan Melayu adalah perompak kerana semua individu akan berjaya atas usaha mereka sendiri.

“Tiada unsur rompakan,” kata Lau.

Dia menjawab pandangan Hadi yang dilaporkan mengenai bukan Islam dan bukan Melayu “yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai yang kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah.”

Bagaimanapun, Lau menegaskan dia tidak bersetuju dengan pandangan yang melabelkan orang bukan Islam dan bukan Melayu sebagai punca utama rasuah di negara ini.

“Ini kerana sejarah telah menunjukkan bahawa kaum bukan faktor penentu kepada rasuah,” katanya lagi.

Pada Selasa, Hadi mengulangi gesaan supaya orang Melayu bersatu, berkata kaum itu “ditipu secara terang-terangan” akibat sikap lalai serta jahil mereka.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa orang Melayu telah kehilangan kuasa politik dan tanpa menyebut sebarang nama dia dilaporkan membidas orang Melayu yang bekerja dengan bukan Islam dan bukan Melayu.

Abdul Hadi juga mendakwa masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu adalah golongan yang terbesar menjadi “penyakau” serta terlibat dalam kegiatan rasuah.

Ikut pendirian PN

Sementara itu, Lau, yang mengekalkan sokongan Gerakan terhadap tindakan Hadi untuk bersuara menentang rasuah, juga mendakwa “pendirian konsisten” PN dalam isu itu tidak seperti BN dan Pakatan Harapan.

Jelasnya, sebarang perbezaan pandangan antara Gerakan dan PAS boleh dan telah dibincangkan antara parti-parti di platform PN.

“Atas semangat PN, kami akan membangkitkan sebarang isu yang kami berbeza pandangan.

“Tetapi apabila apa-apa keputusan telah dibuat, maka kami akan mengikut pendirian gabungan ini dalam mana-mana isu tertentu,” tambahnya.

Pelbagai laporan polis telah dibuat terhadap Hadi dan dia disiasat berhubung kenyataan serupa yang dibuatnya tahun lepas, bahawa majoriti pelaku rasuah adalah bukan Islam dan bukan bumiputera.

Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil terhadapnya setakat ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*