Orang sibuk sambut merdeka, lain pula berlaku pada warga emas ini

Orang sibuk sambut merdeka, lain pula berlaku pada warga emas ini.   Beliau bukan pemimpin politik, apatah lagi ahli mana-mana parti, bukan taikun, tetapi sekadar penjaja mee kari dan laksa utara, yang sering mengikat perut menyara keluarga.

Tiada bendera Jalur Gemilang berkibar di gerainya sempena Hari Kebangsaan. Namun, jangan sekali-kali tuduh Syamsiah Sihabudin, 56, tidak patriotik. Beliau patriotik, tetapi beliau juga putus asa, buntu dengan nasib diri dan keadaan negara.

“Memang tak ada bendera di gerai saya, tapi yang penting ada semangat patriotik dalam diri saya. Sudah tentu saya cintakan tanah air, tapi saya juga amat sedih.

“Di atas sana, orang politik bergaduh sesama sendiri. Semua parti sama sahaja. Dapat kuasa, mana nak ingat kami rakyat kat bawah ini. Bila nak pilihan raya saja baru datang jumpa kami. Lepas itu, macam biasa hilang tak nampak batang hidung,” katanya kepada FMT.

Hari ini, pada 1957, negara mengisytiharkan bebas daripada penjajahan British. Di Kuala Lumpur dan tempat lain, perarakan raksaksa mempamerkan kejayaan negara diadakan, manakala kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob menerima limpahan ucapan tahniah dari negara asing.

Tetapi, jauh daripada sambutan negara meraikan kebebasan daripada penjajah, Syamsiah sugul ketika ditemui di gerainya di Sementa, dekat sini.

Masih tak bebas kesesakan kewangan

Beliau dan suami masih dahaga menantikan “kebebasan” daripada kesesakan kewangan yang masih membelenggui mereka pada usia tua.

Orang sibuk sambut merdeka, lain pula berlaku pada warga emas ini
Gerai jualan yang terletak di bahu jalan menyebabkan Syamsiah Sihabuddin terdedah kepada hujan panas ketika berniaga mencari rezeki.

“Saya ada dua anak yang perlu ditanggung. Pendapatan saya tidak menentu, tapi antara RM1,000-RM1,500 sebulan. Saya terpaksa bantu suami sara kehidupan. Dia hanya buat kerja-kerja kampung, upah tak menentu,” keluhnya yang membuka gerai dari tengah hari hingga lewat petang, saban hari.

Syamsiah antara puluhan ribu rakyat yang mengharapkan masa depan lebih cerah untuk diri dan anak-anaknya.

Julai lalu, kerajaan mengumumkan sasaran mengeluarkan 144,932 ketua isi rumah daripada kategori miskin tegar menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Menurut laporan, sehingga 30 Jun lalu, seramai 144,932 ketua isi rumah di kategori miskin tegar direkodkan melalui data e-Kasih, berbanding 44,829 yang dikesan sepanjang 2020.

Syamsiah bukan seorang diri merenung nasibnya pada Hari Kebangsaan. Anggamal Venggu, 56, berkata realiti hidup menjadikan soal menaikkan bendera Malaysia di kediamannya tidak penting berbanding keperluan mencari wang untuk sesuap nasi.

Orang sibuk sambut merdeka, lain pula berlaku pada warga emas ini
Anggamal Venggu baru pulih daripada pembedahan kaki bagi kecederaan akibat kemalangan dialaminya 20 tahun lepas yang meragut nyawa suaminya.

Anggamal mengambil upah mengasuh lima anak kecil, untuk menyara diri.

“Orang sibuk sambut merdeka, tapi saya di rumah sibuk jaga anak orang, cari duit mahu beli beras, telur dan barang lain. Anak saya tujuh orang semua sudah kahwin. Masing-masing ada keluarga untuk ditanggung. Jadi, saya kena cari kerja untuk dapat duit bagi membeli makanan sendiri.

“Mana sempat saya fikir mahu gantung-gantung bendera. Tapi jangan ingat saya lupa sambutan hari merdeka,” katanya kepada FMT.

Anggamal mendapat RM1,000 sebulan sebagai upah pengasuh, jumlah yang jauh daripada mencukupi, khususnya dalam keadaan harga hampir semua barang keperluan asas menokok.

“Masa susah, kita tak boleh harapkan orang politik. Mereka di atas sibuk rebut kuasa. Kita rakyat kena usaha mahu suap nasi ke mulut sendiri.

“Nanti mahu pilihan raya, mungkin ada sikit bantuan mereka kasi. Mahu beli undi kita, lepas itu mereka lari. Tiap kali pilihan raya, mereka buat macam ini,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*