Kisah ini berlaku pada tahun 2003 ketika aku menuntut di sebuah sekolah berasrama di Kajang, Selangor. Suatu petang, selepas pulang dari kelas aku mengajak Aceng, teman sebilik untuk makan tengah hari bersama-sama di dewan makan.
Kawan aku itu orang Melayu. Tapi, sebab wajahnya seperti orang Cina, maka pelajar senior memberi nama timangan Aceng untuknya. Lekat pula nama panggilan itu.
Namun, petang itu Aceng kelihatan kurang sihat. Dia tidak mahu turun ke dewan makan. Aku biarkan Aceng berehat di bilik dan turun seorang diri. Selesai makan, aku kembali ke bilik untuk bersiap-siap membuat homework di prep room.
Masuk ke bilik, aku lihat Aceng sedang berbaring berselubung kain selimut di atas katilnya. Hanya matanya saja yang tak diselubungnya. Sebelum turun ke prep room, aku hampiri katilnya. Aku letakkan tangan atas dahinya. Suhu badannya panas, matanya merah berair. Aceng demam ke?
Aku tarik kain selimutnya hendak merasa suhu badannya. Ya Allah, panas! Aceng menggigil-gigil kesejukan dalam selimut. Badannya berpeluh-peluh seperti orang lepas bersukan. Hidungnya berair. Mulutnya meleleh air liur hingga basah tilam.
Riak muka Aceng juga seperti orang ketakutan. Apa yang dilihat Aceng? Hantu? Hisss! Petang-petang begini mana ada hantu, bisik hati aku.
Tiba-tiba tangan Aceng menuding ke arah suis kipas di dinding. Aku fikir, mungkin Aceng sejuk. Lantas aku matikan suis kipas. Tetapi, tangan Aceng yang masih menggigil terus menuding kepada suis kipas. Aku mula bingung. Apa sebenarnya sedang ditunjuk Aceng?
Aku tanya pada Aceng, apa yang dimaksudkannya? Bibir Aceng bergetar. Dia seperti mahu memberitahu sesuatu tetapi mulutnya tergagap-gagap.
“Annn…! Ann!” bisik Aceng. Aku cuba hendak memahami butir kata-katanya tapi tidak begitu jelas.
“Aceng nak pinggan ke? Kalau nak muntah, aku ambilkan baldi,” jawabku.
Tapi, Aceng menggeleng-gelengkan kepalanya. Matanya masih memandang suis kipas di dinding. Mukanya seperti melihat sesuatu yang menakutkan.
“Annn…! Qur…an…! Qur…an…” Aceng tiba-tiba meminta al-Quran.
Aku terus mengambil senaskhah al-Quran di locker dan hulurkan kitab suci itu padanya. Aceng terus sentap dan memeluk al-Quran itu sekuatnya. Matanya tertutup rapat.
Entah kenapa dada aku mula berdebar-debar bila lihat kelakuan Aceng itu. Berkali-kali aku memandang ke arah suis kipas di dinding, tetapi aku tidak nampak apa-apa pun, apatah lagi lembaga atau pun kelibat objek aneh di situ. Hanya yang ada, suis dan palam pada dinding tersebut. Cuma, aku perasan siling bahagian atas lompong, tidak bertutup.
Aku mula risau. Apa nak buat untuk membantu Aceng? Spontan aku terus mengambil sebotol air dan sapu ke muka Aceng sambil membaca ayat Kursi. Selepas itu, Aceng kelihatan tenang sedikit. Terdetik dalam hati aku, mungkin Aceng terpandang sesuatu yang mengerikan. Mungkin ‘benda’ yang dilihat Aceng itulah yang menakutkannya.
Kebetulan petang berkenaan, pengawas asrama sedang meronda dan masuk ke dorm kami. Terus aku panggil mereka dan ceritakan kejadian yang berlaku. Tidak tunggu lama, mereka terus membawa Aceng berjumpa seorang ustaz dan warden blok kami. Selepas dirawat ustaz berkenaan, Aceng dibenarkan pulang ke rumahnya untuk beberapa hari. Selepas tiga hari, Aceng kembali semula ke sekolah seperti biasa.
Suatu hari, Aceng menceritakan kembali apa yang dilihatnya pada petang tersebut. Aceng memberitahu dia terlihat suatu jelmaan berdiri di tepi dinding. Makhluk berwajah hodoh dan menakutkan itu seperti patung. Tidak bergerak-gerak.
Aceng menggambarkan rupa makhluk itu seperti seorang kanak-kanak setinggi lutut, tetapi mukanya hancur seperti ditimpa kemalangan jalan raya. Wajahnya juga dipenuhi kedutan dengan kulit yang berparut. Rambutnya panjang, kusut dan melilit menyelubungi badan. Matanya merah menyala.
Makluk itu tidak bergerak-gerak dan hanya merenung tajam ke arah Aceng. Itu yang membuatkan Aceng ketakutan sehingga berselubung.
Kata Aceng, makhluk itu asyik menjelma dan mengekorinya. Anehnya, apabila Aceng menoleh ke kiri atau kanan, tubuh makhluk itu langsung tidak bergerak-gerak. Ketika Aceng menunjukkan telunjuknya pada suis lampu, badannya terasa sangat lemah. Aceng langsung tak terdaya untuk mengucapkan apa-apa perkataan semasa aku bertanya.
Aceng mengakui ketika kejadian, dia tidak begitu sedar apa yang berlaku. Mindanya hanya ternampak jelmaan makhluk tersebut. Ketika Aceng memejamkan matanya, bayangan makhluk hodoh itu masih ternampak-nampak. Bahkan, katanya jelmaan itu masih mengikutnya semasa Aceng dibawa berjumpa dengan ustaz. Aceng menyedari jelmaan tersebut hilang dari pandangan selepas ustaz itu membaca ayat-ayat suci.
Selepas mendengar cerita Aceng, aku teringat kisah-kisah dari pelajar senior yang kononnya terdapat sebuah ‘keluarga’ makhluk menakutkan yang menumpang di atas bumbung dorm kami.
‘Keluarga’ makhluk aneh itu besar. Mungkin apa yang dilihat Aceng pada petang itu salah satu daripadanya. Apa jenis makhluk itu? Jin, syaitan atau…? Entah, aku tidak tahu.
Aku juga pernah dengar, ada beberapa peristiwa bekas pelajar diganggu oleh makhluk aneh tersebut ketika sedang memberus gigi di tandas. Makhluk itu kononnya turut ‘memberus gigi’. Tetapi ketika berkumur, makhluk itu mengeluarkan sisa darahnya yang berjela-jela membasahi lantai bilik air.
Aku juga terdengar beberapa kisah dari bapa pelajar yang menghantar anak ke asrama ternampak kelibat makhluk aneh keluar masuk dari bilik ke bilik menembusi dinding padahal pintu tertutup rapat.
Turut baca :
- {VIDEO} “Memekak jer…nak tidor pun susah…” Penduduk Bukit Jalil tak puas hati kerja pembinaan masih dijalankan lepas pukul 1 pagi
- “Dendam aku belum habis selagi dia belum mati…” Guru kongsi kisah silam, harap dijadikan pengajaran orang ramai
- {VIDEO} Penduduk dilihat panik, kedengaran suara jeritan ketika puting beliung mengganas
Leave a Reply