Polis Pulau Pinang mengesahkan menyiasat laporan dakwaan berlakunya kesalahan berkait isu 3R (agama, raja dan kaum) berdasarkan satu artikel terbitan FMT.
Jurucakap polis Pulau Pinang W Pusphanathan pengadu membuat laporan berdasarkan artikel bertajuk “Muhyiddin says Allah issue shows govt run by non-Malays” kerana merasakan kenyataan itu menyentuh isu 3R dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, menurut Bernama.
“Polis membuka kertas siasatan dan kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.
Minggu lalu, FMT melaporkan Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menuduh kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim ditadbir bukan Melayu dengan memetik isu kalimah Allah sebagai contoh.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis terhadap Muhyiddin dan menggesa pihak berkuasa menyiasat pemimpin itu kerana menghasut.
Dalam perkembangan berasingan, Pusphanathan berkata polis menerima enam laporan berhubung kesalahan merosakkan bendera dan sepanduk parti iaitu empat kes di daerah Seberang Perai Tengah dan masing-masing satu di Seberang Perai Utara serta Barat Daya.
Katanya, polis turut membuka kertas siasatan berhubung video berbaur fitnah di TikTok terhadap calon bebas DUN Perai David Marshel.
“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes yang disiasat.
“Saya berharap semua pihak tidak memainkan isu 3R serta tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen pilihan raya seperti poster, bendera parti dan sepanduk,” katanya.
Leave a Reply