Minta rasuah RM25,000, bekas pegawai khas menteri ditahan

Seorang bekas pegawai khas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Sumber SPRM berkata, suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini sebelum majistret membenarkan suspek ditahan reman selama tiga hari.

Menurut sumber, suspek adalah bekas pegawai khas seorang menteri pada 2019 dan dia dipercayai meminta rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan untuk anak kandungnya.

“Pada Jun lalu, suspek menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015.

“Suspek memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan taraf warganegara ada padanya dan meminta individu itu membayar wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan tersebut,” kata sumber itu.

Tambah sumber, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar SPRM menyiasat lanjut berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*