Ryan (bukan nama sebenar) tidak menyangka persetujuannya menerima pelawaan rakan media sosial dari Thailand untuk bercuti ke Myanmar secara percuma, Mac tahun lalu mengubah kehidupannya.
Bukan sahaja dirinya terpaksa menjadi “scammer” dalam talian hampir tujuh bulan, malah dia pernah melihat kekejaman sindiket membunuh mangsa cuba melarikan diri dari kerja itu dan markas operasi penipuan pelaburan wang kripto palsu.
Menceritakan pengalamannya, Ryan mengakui kesilapannya apabila menerima ajakan bercuti daripada rakan media sosial yang menyediakan tiket penerbangan dan hotel, tanpa memikirkan risiko.
Namun, apabila menjejakkan kaki ke Myanmar, dia terkejut kerana mereka tidak dibawa ke hotel sebaliknya sebuah premis yang rupanya markas “scammer” terbabit.
“Saya diarahkan berkenalan dengan wanita menerusi aplikasi media sosial seperti TikTok dan sebagainya sebelum menawarkan skim pelaburan mata wang kripto palsu kepada mereka.
“Kalau gagal capai sasaran akan dipukul atau dipaksa membuat tekan tubi. Kerja tanpa gaji, hanya dapat kurang RM300 sekiranya sindiket ‘mood’ baik,” katanya yang berjaya melarikan diri menggunakan terowong dikorek penduduk tempatan.
Ryan yang berusia 34 tahun dibawa pulang oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada November lalu.
“Pengalaman di sana memang menakutkan, saya pernah nampak mangsa lain dibunuh kejam sindiket mengawal markas itu…mereka cuba lari tetapi gagal,” katanya yang tidak mengingati lokasi markas terbabit.
“Hanya tahu di Myanmar kerana mendarat di sana, selepas itu tak tahu dibawa ke mana.”
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Max, 30, pula mendedahkan dipaksa membuat 150 hingga 200 panggilan sehari untuk mencari mangsa apabila “bekerja” dengan sindiket penipuan pelaburan di Bangkok, Thailand, Ogos lalu.
“Kalau gagal akan dipukul dan dipaksa ‘lompat katak’.
“Kerja pula lebih 15 jam sehari dan tidak diberi gaji RM900 dijanjikan,” katanya yang terpaksa bekerja dengan sindiket itu selepas terpedaya.
“Saya berjaya keluar dari ‘penyeksaan’ selepas merancang selama beberapa bulan untuk melarikan diri dengan bantuan orang tempatan.”
Pada 1 Mac lalu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Rusdi Mohd Isa berkata seramai 326 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dari tahun 2021 hingga 23 Feb lepas.
Sementara itu, seramai 133 orang masih terkandas di luar negara.
Turut baca :
Leave a Reply