Pasukan penyiasat antarabangsa akan mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan terhadap ‘beberapa pihak lain’ berhubung nahas penerbangan Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine selepas tiga suspek didapati bersalah tahun lepas.
Hasil siasatan itu akan mengenal pasti dalang sebenar yang melancarkan peluru berpandu dan menembak jatuh MH17 pada 2014 serta siapa yang membekalkan misil buatan Russia yang digunakan.
Dua warga Russia dan seorang rakyat Ukraine dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dalam perbicaraan tanpa kehadiran mereka oleh sebuah mahkamah Belanda pada November tahun lalu. Mereka didapati tidak menekan picu untuk melancarkan serangan dan hanya membantu membawa peluru berpandu BUK tersebut ke Ukraine.
“Namun, dalam satu sidang akhbar yang bakal diadakan di The Hague pada 8 Februari ini, kami akan mendedahkan keputusan siasatan berterusan mereka terhadap beberapa pihak lain yang terlibat menembak jatuh pesawat MH17,” kata Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) dalam satu kenyataan.
Tambahnya, waris kesemua mangsa tragedi MH17 akan dimaklumkan mengenai keputusan itu terlebih dahulu.
“Selain siasatan terhadap penglibatan Republik Rakyat Donetsk, JIT turut menyiasat kru BUK-TELAR dan pihak yang bertanggungjawab membekalkan sistem persenjataan Russia tersebut yang digunakan untuk menembak jatuh MH17,” kata kenyataan sama.
JIT dianggotai oleh penyiasat dari Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, yang merupakan negara paling teruk terjejas akibat nahas pesawat Boeing 777 itu.
Sementara itu, hakim-hakim Belanda mendapati bahawa tiga tertuduh, iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dari Russia serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko merupakan ahli puak pemisah DPR, sebuah kumpulan yang dikawal Moscow.
Panel hakim bagaimanapun berkata, masih belum jelas siapa yang sebenarnya mengendalikan sistem peluru berpandu BUK tersebut ketika pesawat itu ditembak jatuh.
Dalam kejadian pada 17 Julai 2014, kesemua 298 penumpang termasuk kru terbunuh apabila pesawat Boeing 777 MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara wilayah Donetsk yang dikawal puak pemisah pro-Russia di Ukraine.
Russia bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan dalam insiden tersebut atau mengawal puak pemisah di rantau itu.
Dalam pada itu, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) kelmarin memutuskan akan mendengar kes yang dikemukakan oleh Belanda terhadap Russia berhubung pencabulan hak asasi manusia, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Kerajaan Belanda mengeluarkan hujah bahawa maklumat palsu mengenai peranan Moscow dalam insiden tersebut merupakan pelanggaran hak asasi manusia.
Menurut Belanda, Russia memainkan peranan penting dalam nahas MH17 dan keputusan kes itu bergantung kepada sama ada Moscow mempunyai ‘kawalan berkesan’ ke atas kawasan Ukraine di mana peluru berpandu itu dilancarkan.
Pada peringkat ini, keputusan ECHR itu hanya mengikut prosedur dan tidak memutuskan merit kes namun, ia menunjukkan bahawa mahkamah percaya Russia boleh dipertanggungjawab ke atas pencabulan hak asasi manusia di wilayah Luhansk dan Donetsk.
Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum keputusan muktamad dikeluarkan, namun sekiranya ECHR menetapkan keputusan bersalah terhadap Russia, Moscow mungkin diwajibkan membayar ganti rugi kepada semua keluarga mangsa.
Moscow sebelum ini menyelar keputusan mahkamah di Belanda pada tahun lalu dengan menganggapnya sebagai satu skandal dan bermotifkan politik.
Leave a Reply