MB Kedah dikecam selepas dakwa KPKT ancam kepentingan kaum

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dikecam di media sosial apabila mendakwa kononnya Dasar Perumahan Negara (DPN) mengancam kepentingan kaum.

Mereka mendakwa tuduhan Sanusi itu bersifat perkauman dan tidak memahami pelan yang cuba dibawa oleh KPKT.

“Memang patut kena tangkap, dah menggugat keharmonian kaum. Hasilnya ada dalam kalangan Melayu dah menebal rasa benci pada bangsa lain. Bahaya,” luah pemilik akaun Twitter, Nsyawana.

Sementara itu, seorang netizen lain mempersoalkan kesahihan dakwaan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu sama ada benar atau tidak.

“Apa yang Sanusi cakap itu fakta ke auta?”, soalnya.

Bagi SaifulAdni pula menulis, “Auta. Dia bukan ada otak pun. Cakap ikut suka dia saja. Bila kena saman, suruh orang relakslah, minta diskaunlah.”

Sebelum ini, Sanusi disaman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan ucapan ADUN Jeneri tersebut yang berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Melalui peguamnya, Anwar menuntut Sanusi menarik balik, memohon maaf dan mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepadanya.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pas itu mengaitkan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk menjemput pakar-pakar perunding perumahan awam seperti dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura dengan naratif perkauman.

“KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk Singapura dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan penyediaan perumahan awam atau sosial untuk 80 peratus rakyat Singapura yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa,” katanya semasa wawancara Astro Awani semalam.

Meskipun DAP memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan, Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan telah menegaskan bahawa pilihan raya itu tidak akan diutamakan.

Sebelum ini, Umno dan Pas lantang menentang pilihan raya kerajaan tempatan.

Untuk rekod, HDB Singapura bertanggungjawab ke atas keperluan perumahan rakyat di republik itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*