Menu Rahmah di universiti dalam masa terdekat

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi dalam masa terdekat, kata Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, pihak KPT sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan program itu.

“KPT dengan KPDN sedang berbincang mengenai perkara ini, saya rasa (terutama) universiti dalam KPT tiada masalah untuk menempatkan atau menyediakan ruang bagi menjayakan program ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan prapelancaran Universiti UCSI Kampus Cawangan Antarabangsa di Bangladesh, di sini, hari ini.

Selasa lalu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata orang ramai kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui program Menu Rahmah.

Sementara itu, ditanya sama ada KPT akan bekerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan tempat tinggal kepada pelajar bagi menjaga kebajikan, beliau berkata KPT dan Kementerian Kewangan sedang mencari langkah kreatif serta inovatif untuk membiayai penyediaan asrama dalam kampus.

“KPT sentiasa berusaha untuk menambah ruang bagi pelajar duduk di dalam (kawasan) kampus supaya dapat tinggal di asrama…tapi ia makan masa, lebih-lebih dalam keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan yang tidak begitu kukuh bagi kerajaan. Namun Kementerian Kewangan dan KPT memahami masalah ini,” katanya.

Mengulas mengenai majlis prapelancaran, Khaled berkata penubuhan kampus Universiti UCSI di Bangladesh adalah bersesuaian dengan rancangan pengantarabangsaan yang diketengahkan oleh KPT.

“Universiti UCSI Kampus Bangladesh akan mengangkat status Malaysia sebagai hab pendidikan global dan inisiatif pasca pandemik dan UCSI wajar dipuji. Saya galakkan lebih banyak pihak swasta yang mengikut jejak sama,” katanya.

UCSI Kampus Bangladesh yang berpangkalan di ibu kota Dhaka akan mula beroperasi pada Mei tahun ini dengan menawarkan 24 program ijazah dan sarjana dalam bidang perniagaan, sains komputer, kejuruteraan, seni bina, sains sosial dan reka bentuk.

Kampus itu dijangka memiliki sekitar 5,000 pelajar dalam tempoh tujuh tahun.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*