Lesen memandu ‘gerenti lulus’, tenaga pengajar dicekup SPRM

Seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu di sini, direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang calon ujian memandu.

Perintah reman sehingga 9 Februari depan dikeluarkan oleh Majistret M Mageshwary di Mahkamah Majistret di sini, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an dan bekerja di sebuah sekolah memandu di Petaling Jaya itu ditahan sekitar 3 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Lelaki itu ditahan susulan penahanan seorang wanita yang juga pekerja sambilan di sekolah memandu itu semalam kerana disyaki meminta wang RM650 daripada seorang calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapatkan lesen ‘gerenti lulus’.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan suspek lelaki itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*