Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendakwah Syeikh Zainul Asri Romli mengaku membuat kesilapan mendakwa Tuhan akan mempertahankan Kedah yang dipimpin PAS daripada “musuh Allah”, dalam perhimpunan baru-baru ini.
Saifuddin berkata, pendakwah itu sudah dipanggil polis dan dirakam keterangan.
“Dalam pertemuan pertama dengan polis, beliau mengaku melakukan kesilapan dan menyatakan terlalu teruja apabila melihat hadirin yang ramai,” katanya pada sidang media.
Katanya, polis bagaimanapun akan menyambung siasatan terhadap pendakwah itu memandangkan laporan terhadapnya sudah dibuat.
“Seperti yang saya katakan di Parlimen, jauhi isu sensitif melibatkan kaum, agama, dan raja (3R) dalam PRN.”
Saifuddin berkata, jika “orang agama” menyentuh isu 3R, ia mengundang kesan yang besar dan sepatutnya ia mesti dielak.
Beliau berkata, parti politik sepatutnya menumpukan kepada soal dasar ketika berkempen menjelang PRN.
Semalam, FMT melaporkan seorang wakil pusat media Pakatan Harapan membuat laporan polis terhadap Zainul atas dakwaan menyamakan musuh PAS sebagai “musuh Allah” ketika berucap dalam Himpunan Kedah Berselawat.
Dalam laporan dilihat FMT, pengadu Muhammad Yahaya mendakwa Zainul dalam ucapannya berkata beliau berharap “Allah akan mempertahankan Kedah daripada dijatuhkan musuhNya” dan Islam akan menang.
Beliau juga mendakwa kenyataan Zainul merujuk kepada PH, walaupun Zainul menafikannya.
Zainul ialah pendakwah bebas dan bekas timbalan ketua Majlis Ulama PAS Kedah.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, negara berdepan kekurangan dalam mencapai sasaran mengambil 500,000 pekerja asing menjelang hujung bulan ini. Katanya, negara masih menunggu 100,000 pekerja kumpulan itu.
Katanya, situasi itu berlaku kerana majikan tidak dibenarkan mengambil pekerja asing dalam “jumlah banyak sekali gus”.
“Pekerja ini hanya boleh diambil secara berperingkat. Contohnya, apabila mereka memohon 1,000 pekerja asing, mereka hanya boleh mengambil kira-kira 300 sahaja di setiap peringkat.”
Leave a Reply