Kes tembak dekat balai, 4 individu diburu

Polis memburu empat individu bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, malam Khamis.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian, terdapat empat lelaki memakai topi keledar dan cermin gelap berada di lokasi ketika tembakan berlaku.

Katanya, usaha mengesan suspek masih dijalankan berdasarkan laporan diterima setakat ini.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya menurut Sinar Harian.

Dalam kejadian 11.30 malam Khamis, mangsa berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan empat tembakan di kepala.

Pemeriksaan pasukan forensik polis menemui lima kelongsong peluru.

Semakan mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*